IPOH: Bekas Ketua UMNO Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menzahirkan rasa syukur selepas penggantungan keahliannya dalam UMNO ditarik balik setelah dua tahun menunggu.
Dalam satu rakaman video, Tajuddin, yang juga bekas Ahli Parlimen Pasir Salak turut menyampaikan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kerana menyelesaikan perselisihan di antara mereka.
“Syukur Alhamdulillah, keputusan ini telah saya tunggu-tunggu, saya kira hampir dua tahun. Ahli keluarga pun ingin memanjatkan kesyukuran kepada Allah.
“Disamping itu saya juga mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Presiden UMNO yang berbesar hati melepaskan saya daripada penggantungan.
“Saya ucapkan terima kasih kepada beliau yang berbesar hati melupakan perselisihan saya dan beliau sebelum ini. Saya juga menerima baik teguran yang diberikan beliau.
“Saya berharap akan dapat menjalinkan kerjasama yang erat dengan beliau sebagai pemimpin tertinggi parti dan pemimpin terulung UMNO,” katanya dalam rakaman video tersebut.
Beliau juga berterima kasih kepada ahli-ahli Majlis Kerja Tertinggi parti itu yang menyokong sebulat suara keputusan menarik balik penggantungan keahliannya.
Tajuddin menegaskan beliau tetap bersemangat untuk terus berkhidmat dan menyumbang kepada kerja-kerja parti dalam mempertahankan masa depan bangsa, agama dan negara.
“Ramai yang menghubungi saya mengucapkan tahniah dan memberikan kata-kata perangsang kepada saya supaya meneruskan perjuangan yang saya dan rakan-rakan bawa dalam UMNO.
“Saya menghargai apa yang mereka harapkan dan dengan izin Allah saya akan lakukan sehabis baik memberikan khidmat kepada parti,” katanya.
Menurutnya, beliau akan membantu UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.
“Sebagaimana yang kita tahu hari ini UMNO berdepan cabaran yang sengit terutama dalam menghadapi PRU16. Banyak perkara yang perlu dibuat untuk menarik sokongan pengundi dan rakyat untuk memilih UMNO dan BN.
“Saya harap UMNO dan BN bersama rakan-rakan parti politik yang lain dapat meneruskan perjuangan ini dan bangkit sebagai parti yang dihormati dan disegani,” katanya.
Tajuddin sebelum ini digantung keahlian daripada UMNO selama enam tahun pada Oktober 2022.
Isnin lalu, UMNO menarik balik penggantungan enam tahun terhadap Tajuddin berkuat kuasa serta-merta. – UTUSAN