PETALING JAYA: Seramai 23 pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang disiasat dipercayai terbabit dengan jenayah komersial sepanjang tahun ini bermula Januari hingga September lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, jumlah itu meningkat berbanding tahun lalu iaitu 22 orang.
Beliau turut melahirkan rasa kecewa dan terkilan apabila amanah di sebalik seragam biru dibanggakan sudah disalah guna segelintir anggota dan pegawai polis.
“Rasanya tidak keterlaluan, jika saya ibaratkan sebagai manusia yang tidak bermaruah dan mementingkan diri sendiri.
“Kewibawaan dan imej PDRM tercalar dengan penangkapan yang dilakukan terhadap segelintir warga PDRM atas pelbagai kesalahan jenayah, dadah, rasuah serta salah guna kuasa,” katanya dalam Perhimpunan Bulanan PDRM di Bukit Aman hari ini.
Menurut Razarudin, beliau sentiasa menekankan tentang keperluan satu perubahan drastik dilakukan terhadap budaya kerja dan tahap integriti di dalam diri setiap warga PDRM.
Jelasnya, usaha itu perlu dilakukan agar pasukan kekal relevan dan dihormati oleh masyarakat.
“Namun, walaupun berulang kali sudah diberikan ingatan dan amaran, tahap integriti serta pematuhan standard warga pasukan masih berada di tahap membimbangkan.
“Integriti adalah teras dalam pembentukan dan pemantapan jati diri kita.
“Justeru, sempena dengan Pelancaran Sambutan Bulan Integriti Nasional 2024 bertemakan ‘Teguh Integriti, Kukuh Pertiwi’, PDRM menyambut baik segala usaha murni kerajaan dalam memperkasakan pembudayaan integriti,” katanya.– UTUSAN