BATU GAJAH: Seramai 408 tahanan yang menjalani proses pemulihan di Pusat Koreksional Batu Gajah (PKBJ) di sini menikmati makanan tengah hari perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sempena sambutan ulang tahun hari keputeraan baginda yang disambut secara rasmi hari ini.
Orang Besar Jajahan (OBJ) Kinta, Datuk Ab. Wahab Azizul Hassan berkata, baginda berkenan mengurniakan hidangan makanan tengah hari itu kepada 408 tahanan PKBJ tidak mengira lelaki dan wanita.
“Baginda bertitah tahanan juga merupakan sebahagian rakyat negeri Perak yang perlu turut sama perlu diraikan.
“Mereka serupa dengan komuniti di luar, tiada perbezaan dan patut diberikan peluang untuk meraikan bersama,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada Majlis Penyerahan Sumbangan Makanan Kepada Orang Tahanan Bersempena sambutan ulang tahun hari keputeraan baginda Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di PKBJ di sini hari ini.
Turut hadir, Pengarah PKBJ, Penolong Komisioner Penjara, S. Tanabal Socklingam.
Katanya lagi, sambutan kali ini diadakan serba ringkas namun memberikan makna yang cukup bererti.
“Tidak semua dapat hadir sama-sama pada majlis ini namun menikmati bersama mereka cukup memberikan erti,” katanya.
Sumbangan makanan ini yang merupakan kali kedua seperti pada tahun lalu sempena ulang tahun keputeraan baginda Sultan Perak.
PKBJ dibuka sejak 1902 dan dahulunya dikenali sebagai Kinta Prison. – UTUSAN