PETALING JAYA : Keputusan sama ada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menahan usahawan dalam talian yang juga pengasas FashionValet, Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzarudin Shah Anuar bergantung kepada siasatan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata, beliau menyerahkan sepenuhnya kes itu kepada penyiasat yang akan memutuskan sebarang tindakan bersesuaian dengan hasil siasatan.
Beliau berkata, siasatan kerugian pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Bhd. (PNB) dalam FashionValet Sdn. Bhd. (FashionValet) berjumlah RM43.9 juta dijangka tidak boleh diselesaikan dalam masa singkat.
“Setakat ini pegawai SPRM membuat yang terbaik dalam menyelesaikan kes ini tetapi saya jangka ia tidak boleh diselesaikan dalam masa yang singkat.
“Ia kerana membabitkan beberapa keputusan korporat. Jadi ia akan mengambil masa sedikit,” katanya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Azam tidak menolak kemungkinan, Vivy dan suaminya itu akan dipanggil semula esok untuk sesi kelima oleh pegawai penyiasat.
“Dalam beberapa sesi terdahulu kita mendapatkan maklumat menerusi dokumen, akaun, pelaburan yang masuk ke dalam FashionValet serta aset-aset yang dimiliki.
“Oleh saya tidak melihat ia akan diselesaikan hari ini dan menjangkakan pegawai penyiasat akan memanggil mereka kembali untuk membantu siasatan,” katanya.
Terdahulu, SPRM mendedahkan terdapat transaksi mencurigakan dikesan sejak 2018 hingga tahun lalu berdasarkan siasatan yang dijalankan setakat ini.
Setakat ini, SPRM sudah merampas kira-kira 60 kotak mengandungi pelbagai dokumen daripada FashionValet, Khazanah dan PNB bagi membantu siasatan.
Bahagian forensik perakaunan SPRM masih menjalankan semakan terhadap semua dokumen yang diperoleh.
Kelmarin, SPRM menggeledah kediaman pasangan berkenaan dan menyita 11 beg tangan serta seutas jam tangan berjenama mewah dengan anggaran nilai keseluruhan kira-kira RM200,000.
Malah, SPRM membekukan beberapa akaun bank persendirian dan syarikat milik pengasas terbabit.– UTUSAN