BANGI: Syarahan Canselor Tuanku Muhriz anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bukan sekadar platform untuk perkongsian ilmu, tetapi juga berperanan menjana idea dan pengetahuan baharu yang relevan dengan cabaran pembangunan demi kesejahteraan masyarakat.
Syarahan perdana terulung ini adalah tanda sanjungan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, yang juga Canselor UKM.
Di bawah naungan baginda, UKM beriltizam menjulang aspirasi sebagai sebuah Universiti Watan yang bukan sahaja menyampaikan ilmu pengetahuan tetapi juga terus menjana ilmu dan idea baharu sesuai dengan cabaran pembangunan ke arah kesejahteraan masyarakat.
Medium ini juga akan menjadi wadah kepada tokoh ulung dari dalam dan luar negara untuk berkongsi pemikiran, pengetahuan dan pengalaman khususnya dalam bidang hal ehwal awam, tadbir urus, integriti dan perundangan.
Disebabkan iltizam itu, syarahan ini telah menampilkan tokoh-tokoh ternama iaitu Tan Sri Dato’ Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz (tahun 2016), Tan Sri Dr. Surin Pitsuwan (2017), The Rt. Hon. Lord Thomas of Cwmgiedd (2018), Dr. Jomo Kwame Sundaram (2019) dan Prof. Dr. Haji Susilo Bambang Yudhoyono (2022).
Siri keenam syarahan ini yang diadakan di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR) UKM Selasa lalu disampaikan oleh bekas Menteri Luar, Tan Sri Dr. Syed Hamid Albar dengan tajuk Tadbir Urus Dan Integriti – Satu Pandangan.
Dengan berbekalkan pengalaman yang luas dalam bidang pentadbiran negara, Syarahan Canselor Tuanku Muhriz Ke-6 memberi peluang kepada beliau untuk mengupas kepentingan membangunkan tadbir urus dan integriti dalam sesebuah pentadbiran.
Menurut Syed Hamid, kestabilan dan kemakmuran negara perlulah dibina berdasarkan pegangan teguh kepada integriti.
Katanya, Malaysia sepatutnya mempunyai sistem tadbir urus yang baik dan tidak berkompromi dalam menangani isu-isu rasuah dan salah guna kuasa.
“Kerajaan mesti mempunyai keupayaan untuk melaksanakan matlamat integriti dengan bersungguh-sungguh,” katanya.
Tambah Syed Hamid, nilai integriti juga perlu dibudayakan dalam sistem pendidikan negara sejak di usia muda.
“Nilai-nilai integiriti dan etika sebenarnya perlu dimasukkan sebagai satu subjek dalam kurikulum pendidikan di sekolah-sekolah seluruh negara.
“Ini kerana, pendidikan integriti yang dimulakan sejak kecil akan memastikan pelajar bukan sahaja menjadi individu yang berpengetahuan, tetapi juga mempunyai nilai-nilai moral yang kukuh dan kesedaran etika yang tinggi,” katanya.
Tambah beliau, langkah itu penting untuk menjamin pembangunan masyarakat yang adil, amanah, dan bebas daripada isu-isu rasuah serta salah guna kuasa.
Syed Hamid berkata, integriti dalam dunia pendidikan merupakan satu keperluan bagi sesebuah negara untuk menghadapi cabaran di masa hadapan kelak.
“Dengan menerapkan nilai integriti dalam pendidikan, generasi muda akan lebih berkemampuan untuk menghindari godaan rasuah dan salah guna kuasa.
“Pendidikan integriti akan melahirkan pemimpin dan rakyat yang lebih bertanggungjawab serta berupaya menegakkan keadilan dan kebenaran dalam setiap tindakan mereka.
“Jika kita mula mendidik generasi muda dengan nilai-nilai integriti, kita sedang membina asas yang kukuh untuk negara ini agar terus berkembang maju dengan kepimpinan yang jujur dan berwibawa di masa hadapan,” katanya.
Turut mengikuti syarahan itu ialah, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir bersama Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tunku Besar Mahmud, Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz dan Tunku Zain Al-’Abidin Ibni Tuanku Muhriz.
Majlis berprestij ini turut disaksikan Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Prof. Emeritus Datuk Dr. Mohamad Abd. Razak dan Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Dr. Mohd Ekhwan Toriman, ahli-ahli Lembaga Pengarah dan pengurusan tertinggi UKM. – UTUSAN