Tabung bantuan bantu kakitangan kementerian terjejas banjir

Tabung bantuan bantu kakitangan kementerian terjejas banjir

FAHMI Fadzil bercakap kepada pemberita pada Majlis Perasmian Penutupan Karnival Komunikasi 2024 di Kuala Lumpur, hari ini. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Komunikasi kembali mengaktifkan Tabung Bantuan Bencana Banjir bagi membantu kakitangan yang terlibat dalam bencana banjir di beberapa negeri di Pantai Timur.

Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, tabung bantuan yang ditubuhkan pada 2022 lalu diaktifkan bagi meringankan beban 54 orang kakitangan yang dikenal pasti terkesan sehingga 7 pagi tadi.

Kata beliau, pihaknya akan mengeluarkan maklumat terkini dan memanfaatkan tabung berkenaan untuk menyalurkan bantuan kepada keluarga-keluarga kakitangan yang terjejas dengan fenomena itu.

“Antara kakitangan agensi di bawah kementerian yang terjejas dalam bencana banjir kali ini termasuk tiga orang dari Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), 26 orang dari Jabatan Penerangan Malaysia (Japen) dan dua orang dari Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom).

“Selain itu, 20 pengamal media dari Radio Televisyen Malaysia (RTM),dua orang dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan seorang dari kementerian turut terlibat.

“Dalam pada itu, Japen turut memaklumkan sebanyak 23 Komuniti Madani terjejas di Terengganu manakala jumlah komuniti Madani di negeri lain sedang dikenal pasti,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Penutupan Karnival Komunikasi 2024, di sini hari ini.

Setakat ini, jumlah mangsa terjejas akibat banjir yang melanda sembilan negeri membabitkan Kelantan, Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan, Perak, Perlis, Melaka dan Johor kini mence­cah 130,000 orang melibatkan hampir 40,000 keluarga.

Berdasarkan maklumat portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), lebih 700 pusat pemindahan se­mentara (PPS) dibuka di seluruh negara.

Mengulas lanjut, Fahmi Fadzil berkata, MCMC turut mengambil langkah proaktif bagi menangani masalah liputan telekomunikasi di kawasan banjir.

Katanya, ini termasuk menyelaras kerja-kerja membaik pulih infrastruktur komunikasi agar penduduk dapat terus berhubung semasa bencana.

“Sehingga 10 pagi tadi, sebanyak 124 stesen pemancar komunikasi masih terjejas akibat banjir dan 47 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) tidak dapat beroperasi disebabkan kerosakan fasiliti.

“Saya sudah meminta MCMC untuk segera menyemak status internet di semua PPS. Berdasarkan maklumat di laman web NADMA, terdapat lebih 700 PPS yang aktif dan kita akan pastikan kesalinghubungan dan sambungan internet di lokasi-lokasi ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya