Di saat begitu ramai artis dan selebriti tempatan cenderung memilih untuk menambah baik rupa paras masing-masing dengan bantuan teknologi kecantikan dengan rawatan estetik dan sebagainya, pelakon berusia 40 tahun ini nampaknya sedikit pun tidak terpengaruh dengan situasi itu.
Nabila Huda yang sejak dari dahulu memiliki kulit berwarna sawo matang, sedikit pun tidak tersinggung andai ada yang berkata dia tidak berkulit cerah putih sebagaimana pelakon lain yang mungkin obses untuk mengekalkan rutin kecantikan masing-masing.
Bagi Nabila, ini adalah dirinya dan Tuhan telah mengurniakan kecantikan sebagai seorang wanita berkulit klasik nusantara maka itulah yang harus dihargai olehnya sebagai seorang manusia yang mengerti akan nikmat kesyukuran.
“Saya sangat sayangkan warna kulit kurniaan-Nya ini. Saya tak faham mereka yang mempunyai warna kulit asli nusantara seperti saya, tetapi lebih suka untuk ke arah memutihkan. Pada saya, ia tidak lagi unik dan seharusnya kita patut hargai.
“Disebabkan ramai nak putih, rasanya, saya sahaja yang masih mahu kekalkan look begini. Tapi tak mengapa sebab saya pun memang suka terutama jika dapat terbabit dalam naskhah filem klasik” katanya.
Menolak andaian bahawa warna kulit yang dimilikinya itu satu kekurangan, Nabila berkata, fikiran seperti itu adalah tidak wajar.
“Sudah tentu ini satu kelebihan, jangan fikir ia satu kekurangan. Bagi saya, apa yang Allah sudah jadikan saya ini adalah yang paling istimewa. Saya bersyukur dan teruskan kehidupan ini tanpa rasa was-was tentang macam mana rupa dan warna kulit saya.
“Sebagai seorang anak seni, saya percaya, apa pun dalam diri kita ini, bakat adalah yang paling utama. Kita kena tengok sama ada seseorang itu punya bakat atau tidak sebab rupa paras ini semua tak penting.
“Satu lagi, juga utama, iaitu macam mana jujurnya jiwa anda untuk buat apa yang awak nak dalam industri seni ini. Sebagai seorang pelakon, saya sayang dan cinta sangat dengan kerjaya seni saya. Daripada dahulu sampai sekarang, pasti ramai tahu macam mana sayangnya saya dengan kerjaya saya ini.
“Malah, saya berani katakan yang saya tidak akan mengkhianati kerjaya yang saya sudah cintai ini sejak berusia 16 tahun sampailah sekarang,”katanya.
Selain daripada itu, kata Nabila, dia juga terharu kerana setiap kali menerima tawaran berlakon, ramai kalangan penggiat seni lain memuji bakat dan warna kulit sawo matang yang dimilikinya.
Kata Nabila, ramai yang mengatakan padanya, warna kulit yang dimiliki sangat cantik ketika berada di dalam paparan skrin dan ia juga membawa tuah buat Nabila yang disifatkan sesuai untuk membawakan apa sahaja watak.
“Ini apa yang orang kata, bukan saya yang perasan. Mereka kata, warna kulit saya ini cantik terutama bila dalam kamera. Ia kelihatan sempurna dan tak perlu tokok tambah apa pun. Sebab itu, saya pun yakin kulit saya cantik,”katanya yang bakal muncul dengan watak Che Som dalam filem Gayong pada Mei tahun hadapan.
Suntik?
Selain itu, pelakon yang juga anak kepada vokalis Search, Datuk Amy ini mendakwa, dia juga tidak mahu terjebak dengan sebarang rawatan estatik kerana percaya tindakan itu akan memberikan kesan jangka panjang pada masa akan datang.
Disebabkan itu, Nabila lebih selesa untuk mendakapi sahaja kecantikan semula jadi yang dimilikinya berbanding melakukan sebarang rawatan yang ekstrem baginya.
“Bagi sesiapa yang nak buat, itu hak masing-masing. Tetapi saya, memang tak akan buat sebab percaya bahawa sebarang benda asing yang masuk dalam badan kita ini, iyalah bahan kimia, tentu sahaja akan ada kesan sampingannya.
“Saya ini seorang pelakon, imaginasi saya di luar norma apa yang orang fikir. Jadi saya punya kebimbangan itu lebih tinggi berbanding orang lain. Jadi, untuk buat rawatan pelik-pelik ini, memang tidaklah untuk saya.
“Sebab itu, saya tak pernah terfikir nak buat rawatan untuk cerahkan atau putihkan kulitlah dan sebagainya, memang tak akan ada dalam ‘buku’ hidup saya. Kalau saya putih, dah jadi sama macam semua orang, sudah tidak unik.
“Bukan tiada orang nak tawarkan segala jenis rawatan kecantikan itu pada saya, tetapi diri ini yang tidak berminat. Kalau setakat rawatan wajah biasa, boleh lagi. Namun saya utamakan bahan organik sahaja,”katanya.