Syor rombak pentadbiran UPNM, semak kawal selia ALK - Pakar

Syor rombak pentadbiran UPNM, semak kawal selia ALK – Pakar

UNIVERSITI PERTAHANAN NASIONAL MALAYSIA (UPNM)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Pertahanan (Mindef) dicadang melakukan rombakan ke atas pentadbiran Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) selain melihat semula kawal selia terhadap pelajar yang dilakukan Akademi Latihan Ketenteraan (ALK).

Cadangan sama pernah disuarakan pada 18 Jun 2017 ketika Mindef diterajui Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang menyatakan kesediaan merombak sistem pengurusan dan pengajian di UPNM bagi menangani dan bertanggungjawab terhadap gejala dera serta buli dalam kalangan pelajarnya.

Pensyarah Pusat Polisi Perdana, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Madya Dr. Muhammad Fathi Yusof berkata, terdapat kemungkinan kejadian buli yang dilaporkan berlaku selepas waktu kuliah.

“Sebagaimana universiti lain yang mempunyai Jabatan Hal Ehwal Pelajar(JHEA) tetapi pelajar UPNM juga tertakluk kepada pengawasan dan pentadbiran ALK. ALK mempunyai tanggungjawab untuk melatih pelajar dari sudut kemahiran dan pengetahun ketenteraan khususnya selepas waktu kuliah.

“Terdapat kemungkinan bahawa kejadian buli ini berlaku ketika di bawah kawal selia ALK yang mana dalam hal ini penyelesaian hanya boleh dilaksanakan jika satu langkah drastik dilakukan untuk melihat kembali kawal selia oleh ALK terhadap pelajar.

“Mindef juga perlu membuat rombakan terhadap pentadbiran UPNM khususnya melibatkan ALK dan kawalan terhadap keselamatan pelajar termasuk di asrama supaya kejadian buli yang serius ini dapat diatasi daripada terus berlaku,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Ahad lalu, polis mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian penuntut tahun satu UPNM, mengalami keretakan tulang rusuk dan tulang belakang dipercayai dipijak penuntut senior.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa dilaporkan berkata, kejadian berlaku pada pukul 10.45 malam 21 Oktober lalu, ketika mangsa berada di tepi padang kawad setelah selesai panggil nama.

Bagaimanapun, Fathi Yusof berkata, kes yang berlaku di UPNM tidak mencerminkan peningkatan masalah buli di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dalam negara secara keseluruhan.

“Saya juga berpendapat bahawa kes buli yang berlaku beberapa kali di UPNM sebagai satu kes yang khusus berlaku di situ. Kita tidak boleh membuat kesimpulan bahawa kejadian seperti ini menunjukkan kes buli di seluruh IPTA dalam negara meningkat.

“Hal ini kerana, tadbir urus di UPNM agak berbeza dengan universiti lain. UPNM di bawah kawal selia Mindef walaupun ada juga penglibatan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) tetapi secara khususnya pentadbiran UPNM itu di bawah Mindef,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya