KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok mempersoalkan tindakan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang masih belum mengeluarkan surat kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman selepas dijatuhkan hukuman.
Teresa berkata, Hakim Mahkamah Tinggi telah menjatuhkan hukuman pada 9 November 2023 dan sepatutnya penghakiman menulis surat bagi memudahkan proses rayuan Syed Saddiq.
“Hari ini adalah 13 November, sudah lebih satu tahun selepas keputusan dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tetapi penghakiman bertulis masih belum disediakan.
“Kelewatan ini menjejaskan proses rayuan Muar (Syed Saddiq) di mahkamah.
“Kalau ikut rekod, Yang Arif Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, beliau mengatakan akan mengeluarkan penghakiman bertulis dalam masa satu minggu selepas sabitan kesalahan itu dibuat.
“Tetapi selepas lebih setahun sehingga hari ini kita masih tidak dengar sebarang khabar.
“Ini belum lagi kira lagi pengurusan mahkamah ataupun pengurusan kes yang terpaksa ditangguhkan sebanyak enam Kali.
“Sehingga hari ini, disebabkan penghakiman bertulis belum disiapkan jadi penangguhan lebih satu tahun bagaikan satu hukuman nampaknya kurang yang baik untuk Muar (Syed Saddiq),” katanya ketika perbahasan Peringkat Jawatankuasa Rang Undang-Undang Perbekalan 2025, hari ini.
Teresa juga mempersoalkan, Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang Malaysia (LPQB) yang tidak membayar cukai.
“Soalan saya ialah sejak bila LPQB tidak bayar cukai dan apakah penjelasan terperinci yang telah diberikan oleh LPQB mengenai perkara ini. Adakah terdapat pengecualian cukai diberikan oleh LHDN kepada LPQB?.
“Saya juga terima aduan daripada seorang peguam berkenaan sijil amalan guaman oleh LPQB. Antara aduan yang diutarakan ialah keperluan LPQB mengenakan Kos operasi yang begitu tinggi terhadap pelajar yang mengambil peperiksaan,” katanya. – UTUSAN