Syed Danial, KSU Kementerian Ekonomi antara penerima Darjah Kebesaran Sultan Perak - Utusan Malaysia

Syed Danial, KSU Kementerian Ekonomi antara penerima Darjah Kebesaran Sultan Perak

SYED Danial Syed Ahmad menerima Darjah Dato’ Seri Paduka Mahkota Pe­rak (SPMP) yang membawa gelaran Datuk Seri pada Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak Darul Ridzuan Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-68 Sultan Perak di Istana Iskandariah di Kuala Kangsar hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyampaikan Darjah Kebesaran dan pingat negeri Perak kepada 59 penerima sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda yang ke-68 hari ini.

Penganugerahan disampaikan semasa Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak Darul Ridzuan di Istana Iskandariah di sini.

Kesemua 59 orang penerima itu adalah sebahagian daripada senarai 213 penerima untuk tahun ini, dengan baki 154 lagi akan dikurniakan darjah kebesaran dan pingat pada 16 November depan.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad mengetuai senarai penerima dan beliau menerima Darjah Dato’ Seri Paduka Mahkota Pe­rak (SPMP) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Penganugerahan yang sama turut diperkenankan kepada Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd. Radzi dan Pengerusi Eksekutif Yee Lee Corporation, Datuk Lim Kok Cheong @ Lim A Heng.

Darjah Dato’ Paduka Cura Si Manja Kini (DPCM) yang membawa gela­ran Datuk pula dianugerahkan kepada Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, Datuk Nor Azmie Diron selaku penerima tunggal darjah tersebut.

Sementara itu, baki 209 lagi menerima Darjah Dato’ Paduka Mahkota Perak (DPMP) yang membawa gelaran Datuk kepada lapan penerima, Darjah Dato’ Pahlawan Taming Sari (DPTS) yang membawa gelaran Datuk Pahlawan enam penerima, Darjah Paduka Cura Si Manja Kini (PCM) 13 penerima dan Darjah Paduka Mahkota Perak (PMP) 28 penerima.

Selain itu, Darjah Ahli Cura Si Manja Kini (ACM) kepada 14 penerima, Darjah Ahli Mahkota Perak (AMP) 39 penerima, Pingat Pekerti Terpilih (PPT) 61 penerima, Pingat Jasa Kebaktian (PJK) 30 penerima serta Pingat Lama Perkhidmatan (PLP) 10 orang penerima.

Sesi pertama istiadat peng­anugerahan hari ini melibatkan darjah kebesaran yang membawa gelaran Darjah Dato’ Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) hinggalah kepada Darjah Paduka Mahkota Perak (PMP).

Sebelum ini, Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jeneral (B) Tan Sri Mohd. Zahidi Zainuddin berkata, Syed Danial tidak asing bagi negeri ini dan pernah bertugas di Perak serta terlibat secara tidak langsung memberi nasihat semasa pemasyhuran Sultan Nazrin.

Beliau juga berkata, darjah kebesaran, bintang dan pingat-pingat negeri Perak pada tahun ini dikurniakan kepada mereka yang benar-benar layak, banyak berjasa kepada negeri dan mengharumkan nama negeri, serta memenuhi kriteria yang ditetapkan sahaja. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya