PETALING JAYA: Syarikat-syarikat Peru menunjukkan minat khusus terhadap keupayaan Malaysia dalam mengeksport produk seperti peralatan dan produk perubatan, bahan binaan berkaitan keluli dan kaca serta produk-produk barangan pengguna.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, maklum balas itu diterima dalam Mesyuarat Meja Bulat dengan pemimpin industri dan perniagaan yang merupakan platform bagi menerangkan peluang dalam bidang perdagangan serta pelaburan ke dalam negara kepada syarikat dari Amerika Selatan.
Katanya, mesyuarat itu dihadiri oleh 22 wakil daripada 20 organisasi termasuk konglomerat terkenal Peru seperti Grupo Romero, Grupo Armejo Yepez dan Grupo Molicom di samping wakil daripada Pihak Berkuasa Pelabuhan Negara Peru dan Dewan Perniagaan Kebangsaan.
“Mesyuarat Meja Bulat ini turut memberi peluang kepada syarikat-syarikat Peru untuk mendapatkan maklumat terperinci mengenai dasar Malaysia khususnya dalam perkara seperti peralihan tenaga, kelestarian serta pensijilan halal.
“Mesyuarat secara aktif membincangkan strategi untuk memanfaatkan Perjanjian Komprehensif Dan Progresif Bagi Perkongsian Trans-pasifik (CPTPP) memandangkan kedua-dua negara merupakan ahli dalam perjanjian ini serta potensi kerjasama dalam logistik maritim termasuk pengurusan pelabuhan.
“Alhamdulillah, syarikat-syarikat Peru menunjukkan minat khusus terhadap keupayaan Malaysia mengeksport produk seperti peralatan dan produk perubatan, bahan binaan berkaitan keluli dan kaca, serta produk-produk barangan pengguna,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.
Anwar kini berada di Lima, Peru bagi mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) APEC 2024.
Dalam persidangan itu, beliau dijangka akan menekankan komitmen Malaysia ke arah memperkukuh kerjasama ekonomi selain memupuk pembangunan yang saksama dan inklusif buat semua. – UTUSAN