KUALA LUMPUR: Syarikat penerbangan dari negara ASEAN dijangka boleh membuat persinggahan di mana-mana destinasi rantau ini mulai tahun 2025.
Menjelaskan hal itu, Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook berkata, perkara itu mampu dibuat selepas negara ASEAN bersetuju menandatangani pemeteraian ‘protokol 5’ mengenai hak persinggahan di rantau ini.
“Protokol ini penting untuk syarikat penerbangan kerana walaupun kita ada polisi langit terbuka, penerbangan (ketika ini) hanya pergi satu tempat dan kembali ke tempat asal, dengan adanya protokol ini mereka boleh singgah dan pergi ke tempat lain dalam negara ASEAN.
“Ini merupakan penambahbaikan, kemajuan dalam sektor penerbangan di peringkat Asean,” katanya dalam sidang media sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Pengangkutan ASEAN (ATM) ke-30 dan Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Pengangkutan ASEAN (STOM) ke-58, hari ini.
Selain itu, beliau berkata dengan adanya Protokol ASEAN 5 ini, syarikat-syarikat penerbangan boleh meneruskan penerbangan dari satu destinasi ke destinasi lain di negara-negara rantau ASEAN.
“Contohnya, kita pergi ke Singapura daripada penerbangan Kuala Lumpur maka dari Singapura itu kita boleh meneruskan penerbangan ke Bali, Indonesia. Jadi ini satu protokol penting untuk syarikat penerbangan kerana kelaziman kita walaupun ada ASEAN Open Sky Policy, ia hanya two end flow.
“Bererti penerbangan itu pergi ke satu tempat dan balik ke destinasi asal. Tetapi dengan adanya protokol baharu ini, mereka boleh singgah dan pergi ke perhentian seterusnya di negara-negara ASEAN. Ini satu penambahbaikan, kemajuan dalam sektor penerbangan di peringkat ASEAN,” katanya.
Loke berkata dasar ini dilihat akan memudahkan dan memberi manfaat kepada syarikat penerbangan, khususnya syarikat di Malaysia seperti AirAsia, Batik Air Malaysia dan Malaysia Airlines yang mempunyai banyak penerbangan di rantau ASEAN.
Perjanjian Perkhidmatan Udara ASEAN-New Zealand dan Protokol 1 hasil mesyuarat itu juga menandakan satu langkah penting dalam mengukuhkan hubungan penerbangan antara ASEAN dan New Zealand.
“Perjanjian ini memperluas akses pasaran untuk syarikat penerbangan, menyokong kerjasama ekonomi, dan memudahkan hubungan antara rakyat, dengan itu memperdalam hubungan antara kedua-dua rantau,” katanya.
Difahamkan menerusi protokol ini, syarikat penerbangan boleh singgah di suatu destinasi (stopover) sambil mengambil dan menurunkan penumpang, sebelum menerusi perjalanan ke destinasi yang seterusnya.
Syarikat penerbangan umpamanya dalam penerbangan ke Bali boleh singgah untuk menurun, mengambil penumpang dan kargo di Singapura. – UTUSAN