Syarat tambahan MCMC pastikan keseimbangan 5G

Syarat tambahan MCMC pastikan keseimbangan 5G

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Syarat tambahan ditetapkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kepada U Mobile Sdn. Bhd. (U Mobile) adalah untuk memastikan keseimba­ngan antara kedua-dua rangkaian 5G.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, pihaknya juga ingin memastikan Digital Nasional Berhad (DNB) dan Rangkaian 5G Kedua Malaysia dapat saling melengkapi di samping bersaing dengan sihat.

“Jadi, tidak ada satu keadaan di mana berlaku dominasi secara berlebihan oleh satu-satu pihak. Justeru, MCMC memang berhak untuk mengenakan sya­rat kepada pihak U Mobile.

“U Mobile telah membuat kenyataan menyatakan mereka bersedia untuk bekerjasama de­ngan syarikat-syarikat lain.

“Jadi, MCMC berhak untuk mengenakan syarat tambahan sebelum memberikan spektrum untuk mereka menjalankan kerja-kerja,” katanya ketika ditemui pada sambutan Hari Kurier Negara 2024, di sini semalam.

Sebelum ini, Fahmi menje­laskan, kerajaan tidak me­ran­cang menyemak semula keputusan memilih U Mobile sebagai pengendali rangkaian 5G Kedua Malaysia.

Menurutnya, langkah itu di­anggap tidak perlu kerana pemilihan sudah dibuat secara bebas dan tidak melibatkan campur tangan kerajaan.

“Keputusan memilih U Mobile itu dibuat secara sebulat suara oleh oleh ahli-ahli Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dan diputuskan oleh pasukan teknikal,” katanya.
MCMC memutuskan supaya U Mobile dikenakan syarat-syarat tertentu bagi memba­ngunkan rangkaian 5G Kedua Malaysia itu selepas mengambil kira pengalaman pengendali rangkaian pertama 5G iaitu Digital Nasional Bhd (DNB).

Sebelum ini, MCMC meng­umumkan bahawa U Mobile dipilih untuk melaksanakan Rangkaian 5G Kedua di Malaysia dalam usaha memaksimumkan potensi teknologi 5G untuk manfaat rakyat, industri, dan negara.

Sementara itu, Fahmi berkata, Anwar masih boleh menjawat jawatan Perdana Menteri biarpun tempoh beliau sebagai Presiden PKR tamat selepas tiga penggal.

Beliau yang juga Ketua Pe­nerangan PKR memberitahu, tiada isu timbul mengenai tempoh jawatan itu kerana Anwar masih mempunyai jawatan-jawatan penting lain.

Beliau berkata, pihak parti telah pun memikirkan jalan keluar kepada isu berkenaan.

“Ketika ini, Anwar mempunyai jawatan-jawatan lain yang membolehkan beliau memegang jawatan Perdana Menteri bagi penggal kedua pentadbirannya selepas Pilihan Raya Umum ke 16 (PRU16).

“Anwar ketika ini masih pegang jawatan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Pengerusi Majlis Rundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Katanya, PKR memang mengamalkan had tiga penggal bagi jawatan Presiden, tapi pada waktu ini tidak ada isu berbangkit dan Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh berkhidmat sebagai Perdana Menteri sekarang malah untuk penggal seterusnya.

Untuk rekod, Anwar memegang jawatan pengerusi PH sejak 2020. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya