PUTRAJAYA: Fenomena Supermoon yang terakhir untuk tahun ini diramalkan berlaku di seluruh dunia esok pada pukul 11.18 pagi GMT (kira-kira 7.18 malam waktu Malaysia).
Menurut sumber falak tempatan, kejadian tersebut bakal menyaksikan jarak bulan dari bumi sejauh 361,867 kilometer (km) dengan diameter jasad samawi itu ialah 33.18 arc.
Walau bagaimanapun, Agensi Angkasa Malaysia (Mysa) menerusi hantaran infografik pada awal bulan ini memaklumkan jarak insiden berkenaan lebih dekat iaitu 360,109 km.
Ia turut menyatakan bahawa Supermoon itu akan dapat dilihat jelas di negara ini pukul 7.14 malam, sehari selepas berlakunya kemuncak juraian meteor Taurid Utara di langit.
Mysa turut mengesahkan fenomena itu bakal terjadi sebelum bulan memasuki tempoh fasa penuh atau kelazimannya disebut sebagai purnama pada pukul 5.31 pagi Sabtu ini.
Meskipun hanya bersifat kejadian angkasa, Supermoon terakhir 2024 yang turut diberikan nama Beaver’s Moon itu, dijangka mengakibatkan banyak kawasan rendah dinaiki air.
Situasi itu dapat dilihat menerusi laman sesawang Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) memaparkan beberapa lokasi di tepi laut akan mengalami air pasang perbani.
Antaranya Pelabuhan Klang, Selangor yang ketinggian air laut diramalkan 224 sentimeter (cm) pada pagi esok sebelum naik kepada 244 cm lusa malah mencecah 254 cm tulat.
Begitu juga Pelabuhan Pulau Pinang yang memperlihatkan kadar ketinggian daripada 94 cm pada esok sebelum melonjak lagi kepada 98 cm lusa dan kemuncaknya 99 cm tulat.
Sumber falak tempatan berkata, peminat sains astronomi yang terlepas menyaksikan kejadian Supermoon terakhir tahun ini masih boleh melihat kembali pada 8 Oktober 2025.
Sepanjang 2024, fenomena itu direkodkan muncul bermula pada 20 Ogos lalu yang disebut sebagai Sturgeon Moon diikuti 18 September lepas dengan namanya Harvest Moon.
Supermoon kali ketiga tahun ini pada 17 Oktober lalu mencatatkan banyak kawasan di Malaysia mengalami banjir teruk ekoran jarak bulan yang cukup dekat iaitu 357,364 km. – UTUSAN