Sungai Golok lepasi paras amaran, penduduk mula berkemas

Sungai Golok lepasi paras amaran, penduduk mula berkemas

MEK Yam Ahamad bersedia berpindah apabila paras air semakin meningkat di Kampung Bendang Perol, Rantau Panjang, Kelantan-UTUSAN/ROHANA ISMAIL.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RANTAU PANJANG: Paras air Sungai Golok di sini mula melepasi tahap amaran susulan hujan lebat sejak beberapa hari lalu.

Mengikut publicinfobanjir.water.gov.my, setakat pukul 2 petang tadi mendapati air Sungai Golok berapa pada tahap 8.13 meter sekali gus melepasi paras berjaga-jaga iaitu 7 meter.

Berpandukan kepada situasi ketika ini, paras air Sungai Golok dijangka terus meningkat susulan hujan masih lebat.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia mendapati tujuh keluarga di Kampung Bendang Perol mula berkemas selepas kediaman mereka digenangi air limpahan.

Seorang penduduk, Mek Yam Ahamad, 82, berkata, air naik mendadak pagi ini disebabkan hujan lebat semalam sehingga pekarangan rumahnya digenangi air sedalam 0.3 meter.

“Saya dah buat persiapan awal, jika hujan berterusan kemungkinan petang esok kami tujuh keluarga di sini akan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

“Kami antara yang terawal berpindah setiap tahun dan paling akhir pulang ke rumah,” katanya ditemui di sini.

Mek Yam memberitahu, walaupun diuji dengan sakit lutut, namun dia tetap tabah dan akan mengambil keputusan berpindah awal jika keadaan menjadi lebih teruk.

Seorang lagi penduduk, Zuraisham Hassan, 36, berkata, banjir boleh berlaku bila-bila masa jika hujan tidak berhenti.

Katanya, meskipun sudah lali dengan situasi banjir setiap tahun, dia dan keluarga tetap membuat persiapan rapi.

“Semua dokumen dan barang elektrik juga sudah disimpan di tempat tinggi agar tidak rosak ditenggelami banjir.

“Saya dan keluarga tidak membeli barangan keperluan dapur untuk bekalan banjir kerana kami pasti akan berpindah ke PPS nanti,” ujarnya.

Sementara itu,  seorang pelajar, Nur Ayunie Balqis Zakaria, 15, berkata, dia sudah menyimpan kesemua peralatan persekolahan dan buku-buku kerana bimbang ditenggelami banjir.

“Saban tahun kami akan ke PPS kerana rumah kami ditenggelam banjir hingga paras bumbung. 

“Sepanjang tempoh itu, saya tidak hadir ke sekolah kerana semua jalan terputus hubungan ditenggelami air,” ujarnya.

Buat masa ini, tiada mangsa banjir ditempatkan di PPS di Kelantan meskipun tiga sungai utama iaitu Sungai Melor di Kota Bharu, Sungai Golok (Rantau Panjang) dan Sungai Semerak (Pasir Puteh) berada pada paras amaran susulan hujan berterusan sejak malam kelmarin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya