SERDANG: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak berkenan terhadap cadangan untuk menukar nama Universiti Putra Malaysia (UPM) kepada Universiti Pertanian Malaysia.
Baginda bertitah, cadangan yang dibuat oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu itu tidak dirujuk kepada baginda selaku Canselor UPM dan juga kepada Lembaga Pentadbir universiti berkenaan.
“Beta menegaskan bahawa nama Universiti Putra Malaysia ini hendaklah dikekalkan kerana Beta telah melancarkan jenama PUTRA yang membawa maksud ‘Pertanian Untuk Rakyat’,” titah baginda ketika menyempurnakan Majlis Konvokesyen UPM ke-48 Sidang 2.
Terdahulu, media melaporkan cadangan untuk menukar semula nama Universiti Putra Malaysia (UPM) kepada nama asalnya iaitu Universiti Pertanian Malaysia akan dikemukakan kepada Kabinet untuk dibincangkan, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Mohamad berkata, beliau sendiri akan membawa cadangan itu ke Mesyuarat Kabinet tidak lama lagi, selepas mengambil kira keutamaan negara kini tertumpu kepada isu keterjaminan makanan dan memajukan sektor pertanian negara.
Titah baginda, meskipun UPM terkenal dengan kursus pengajian utama seperti pertanian, perhutanan, penternakan dan perikanan, universiti itu turut menawarkan program dalam bidang lain yang memberi manfaat kepada pelajar dan masyarakat.
Baginda turut menekankan bahawa nama UPM diambil sempena nama Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj, yang banyak berjasa kepada negara.
“Beta ingin mengingatkan kepada mereka yang tidak memahami sejarah agar membaca dan meneliti fakta sejarah sebelum membuat sebarang kenyataan, terutama yang melibatkan Universiti Putra Malaysia,” titah Sultan Sharafuddin.
Cadangan menukar nama UPM kepada Universiti Pertanian Malaysia mencetuskan perdebatan dalam kalangan masyarakat, namun titah Sultan Selangor itu diharap dapat merungkai kekeliruan dan memberi panduan kepada pihak berkaitan.
Dalam pada itu, seramai 6,056 graduan pelbagai program pengajian yang akan menerima ijazah dan diploma masing-masing terdiri daripada penerima Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) seramai 608, Ijazah Sarjana (Master) seramai 1,509 Bachelor (3,934) dan Diploma (5).
Sebelum ini, Majlis Konvokesyen ke-48 Sidang 1 Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) telah diadakan pada 2 hingga 3 November lalu dan seramai 473 graduan pelbagai program pengajian telah bergraduat. – UTUSAN