KUALA SELANGOR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah berkenan menyempurnakan perasmian Kongres Saintifik Tahunan (ASC) 2024 di Hospital Al-Sultan Abdullah (HASA) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kampus Puncak Alam di sini, hari ini.
Ketibaan baginda disambut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib dan Presiden Kolej Perubatan Malaysia, Prof. Datuk Seri Dr. Paras Doshi.
Pada majlis itu, Sultan Nazrin Shah berkenan menyampaikan beberapa anugerah khas kepada individu yang berjasa kepada sektor perubatan, pendidikan dan pembangunan kesihatan.
Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat dianugerahkan kepada tiga penerima iaitu Datuk Dr. Aris Chandran Abdullah, Prof. Emeritus Datuk Dr. Raymond Azman Ali dan Datuk Seri Azhari Rosman.
Tan Sri Ridzwan Abu Bakar pula dipilih sebagai penerima Anugerah Orator Datuk Dr. Lim Kee Jin manakala sembilan presiden College of Physicians antarabangsa dianugerahkan Honorary Fellowship.
Dr. Paras berkata, penganjuran ASC membuktikan komitmen pengamal penjagaan kesihatan di seluruh dunia bagi inovasi dan pencarian ilmu berterusan dalam menambah baik bidang itu.
“Ia usaha gigih para doktor, pakar dan penyelidik kami dalam meningkatkan penjagaan pesakit serta landskap kesihatan di Malaysia dan rantau ini.
“Selain itu, ia membuktikan bahawa pembentangan mengenai isu pesakit kini semakin kompleks dan tidak dibezakan,” katanya berucap pada program itu.
Sementara itu, Shahrin berkata, HASA berfungsi sebagai hospital pengajaran dan penyelidikan utama UiTM yang mewakili komitmen kecemerlangan dalam penjagaan kesihatan, pendidikan perubatan dan inovasi penyelidikan.
“Acara ASC membuka peluang untuk bertukar idea dan memberi inspiras malah, menyemarakkan hasrat kami memacu kemajuan dan menetapkan standard lebih tinggi.
“Saya berharap semua peserta mendapat inspirasi dan perspektif baharu daripada penceramah yang berkongsi kepakaran mereka dalam bidang perubatan,” katanya.
ASC dianjurkan dengan kerjasama Kolej Perubatan Malaysia dan Jabatan Perubatan HASA UiTM, mengumpulkan 300 peserta tempatan dan antarabangsa sepanjang tiga hari program berakhir hari ini.
Persekutuan Perubatan Dalaman ASEAN (AFIM) dan mesyuarat Presiden Kolej Perubatan di seluruh dunia turut diadakan sempena persidangan itu.
Selain perbincangan dan pertukaran idea mengenai bidang itu, ia menampilkan Piala Pakar Perubatan Khoo Kah Lin disertai lapan pasukan yang bersaing merebut tempat teratas bagi kuiz berasaskan perubatan dalaman. – UTUSAN