KUALA KANGSAR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat pada Istiadat Konvokesyen Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) ke-17 di Dewan Jubli Perak di sini hari ini.
Keberangkatan baginda diiringi Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, Naib Canselor USAS, Prof. Datuk Dr. Wan Sabri Wan Yusof serta pentadbir-pentadbir tertinggi negeri.
Istiadat konvokesyen universiti itu berlangsung bermula hari ini sehingga esok dengan menyaksikan seramai 1,798 graduan menerima ijazah dan diploma.
Bilangan graduan itu merangkumi tujuh orang penerima Ijazah Doktor Falsafah, Ijazah Sarjana 36 orang, Diploma Pascasiswazah 14 orang manakala Ijazah Sarjana Muda seramai 768 orang dan 973 graduan Diploma.
Baginda juga berkenan menyampaikan Anugerah Tuanku Canselor, Anugerah Menteri Besar Perak, Anugerah Naib Canselor, Anugerah Terbaik Fakulti Pengurusan dan Teknologi Maklumat serta Anugerah Terbaik Fakulti Pengajian Islam dan Sains Sosial.
Wan Sabri dalam ucapannya berkata, USAS pada tahun ini menyambut Jubli Perak setelah ditubuhkan pada tahun 1999.
“Banyak kejayaan yang telah USAS capai, tetapi lebih banyak lagi yang perlu dicapai.
“Persidangan merupakan aktiviti wajib di universiti. USAS telah menganjurkan 7th World Conference on Islamic Thought and Civilization 2024 yang menampilkan ramai tokoh tempatan dan antarabangsa. Persidangan sangat bermakna kerana diserikan dengan keberangkatan Duli Yang Maha Mulia Tuanku (Sultan Nazrin) dan menyampaikan titah utama Royal keynote selain ucapan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar lbrahim,” katanya.
Sejak 2002 hingga 2024, universiti itu yang sebelum ini dikenali sebagai Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS) telah mempunyai 14,045 alumni.
Sementara itu, penerima Anugerah Tuanku Canselor, Siti Nurzulaikha Zulkifli, 24, melahirkan rasa syukur atas kejayaan menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer dengan purata nilai gred keseluruhan (PNGK) 3.88.
“Saya bersyukur kerana diberi sokongan yang baik oleh keluarga dan rakan-rakan. Keadaan ini memudahkan saya untuk belajar dengan baik dan mencuba pelbagai perkara hingga sampai ke peringkat ini,” katanya.
Dua lagi anugerah utama iaitu Anugerah Menteri Besar Perak dan Anugerah Naib Canselor masing-masing diterima oleh Nur Masitah Awang Kecil, 25, yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab dan Humaira Mohd. Hussin, 22, yang merupakan graduan Diploma Bahasa Arab Dengan Pendidikan. – UTUSAN