Sultan Nazrin hadiri sambutan Deepavali negeri Perak - Utusan Malaysia

Sultan Nazrin hadiri sambutan Deepavali negeri Perak

SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah dan Tuanku Zara Salim menyampaikan sumbangan kepada anak yatim pada Majlis Sambutan Deepavali Peringkat Negeri Perak di Stadium Indera Mulia, Ipoh hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Deepavali negeri Perak tahun 2024 yang diadakan di Stadium Indera Mulia di sini hari ini.

Keberangkatan baginda diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Berangkat sama, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah; dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad serta barisan Exco dan pentadbiran negeri termasuk Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A. Sivanesan.

Majlis tersebut bermula pukul 2.30 petang yang dihadiri lebih 8,000 orang dan dimeriahkan dengan pelbagai persembahan tradisional kaum India selain hidangan makanan tradisional masyarakat India seperti tosei, pani puri, vadai dan putu mayam.

Sultan Nazrin dan Tuanku Zara turut berkenan menyampaikan sumbangan kepada lebih 60 anak-anak kurang bernasib baik dari Pusat Penjagaan 1 Malaysia Perak, Pusat Jagaan Gembala Baik, Pusat Jagaan Vision Home, Pusat Jagaan Pelangi Perak dan Yayasan Amanah An-Anur Maisarah.

Sementara itu, Menteri Besar Perak ketika menyampaikan sembah ucapannya berkata, majlis itu menyerlahkan keunikan negeri Perak sebagai ‘Mini Malaysia’.

“Walaupun berbeza kaum dan agama, kita mampu hidup dalam semangat kerukunan, persefahaman dan hormat menghormati antara satu sama lain. Sesuatu yang dikagumi, malah dicemburui oleh negara-negara lain,” katanya.

Saarani pada masa sama berkata, keamanan dan keharmonian rakyat berbilang kaum sering sahaja dibayangi sentimen perkauman dan agama, sehingga hubungan dalam masyarakat sentiasa diasak sejak kebelakangan ini.

“Sempena keberadaan kita meraikan pesta cahaya ini, sama-samalah kita mengukuhkan tekad dan azam untuk menyuburkan nilai-nilai kebaikan demi mengatasi kejahatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya