SHAH ALAM: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dimasyhurkan sebagai Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada Istiadat Pemasyhuran dan Konvokesyen UiTM Ke-100, hari ini.
Sultan Ibrahim dalam istiadat tersebut bertitah menyeru semua pihak dari generasi muda sehinggalah kepada pegawai kerajaan dan ahli politik supaya berani melakukan perubahan kepada diri sendiri untuk mengubah nasib bangsa dan negara.
“Ini saya hendak ingatkan, kita masih lagi berpecah belah dan mempunyai sikap buruk sangka antara satu dengan yang lain, itu menggagalkan usaha untuk membentuk sebuah bangsa Malaysia yang bersatu padu.
“Kita berjaya melawan virus Covid-19, tetapi ada satu virus yang susah untuk diatasi iaitu virus perpecahan. Lebih mendukacitakan, setiap isu akan dipolitikkan oleh pihak tertentu sehingga membawa kepada keadaan yang lebih sukar.
“Justeru, jika kita hendak mengubah nasib bangsa dan negara, semua pihak dari generasi muda sehinggalah kepada pegawai kerajaan dan ahli politik, mestilah berani melakukan perubahan kepada diri sendiri dahulu,” titah Seri Paduka.
Yang di-Pertuan Agong bertitah, sebagai generasi baharu, yang bakal memimpin negara, hendaklah menolak sikap buruk bergantung kepada bantuan kerajaan semata-mata kerana ia akan melahirkan sikap malas dan sentiasa menyalahkan orang lain atas kelemahan diri sendiri.
“Sebagai generasi baharu, yang bakal memimpin negara, hendaklah menolak sikap buruk itu. Budaya dan sikap bergantung hidup boleh membunuh keyakinan diri serta semangat untuk memajukan diri. Akhirnya, ia akan membenam usaha negara untuk maju,” titah Seri Paduka.
Terdahulu, Seri Paduka berkenan menerima watikah pemasyhuran disampaikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir kepada baginda berdasarkan Seksyen 19A(2) Akta Universiti Teknologi Mara 1976 yang memperuntuk dan menetapkan Yang di-Pertuan Agong adalah Canselor UiTM.
Dalam istiadat sama, Sultan Ibrahim turut berkenan menyampaikan penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Seni Kreatif kepada Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar.
Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin ketika berucap dalam istiadat tersebut memberitahu UiTM mencatat sejarah sekali lagi apabila seramai 25,957 graduan bakal menerima diploma dan ijazah dalam pelbagai bidang.
Dalam pada itu, Sultan Ibrahim turut mengingatkan para graduan supaya mengenang jasa dan pengorbanan ibu bapa yang membolehkan mereka berada di dunia ini dan mencapai kejayaan yang diimpikan.
Malah, Seri Paduka turut menasihatkan supaya graduan tidak memilih kerja bagi memastikan peluang pekerjaan tidak direbut oleh pekerja asing yang akhirnya merugikan diri sendiri dan negara.
“Selepas ini, para graduan akan melangkah pula untuk mencari pekerjaan, nasihat saya jangan terlalu memilih kerja, para graduan hendaklah menyambut peluang pekerjaan yang ditawarkan oleh pelbagai sektor dan industri di negara ini.
“Jika terlalu memilih, para graduan akan kekal menjadi penganggur terhormat dan peluang pekerjaan yang ada akan direbut oleh pekerja asing, akibatnya awak semua dan negara yang akan rugi,” titah Sultan Ibrahim. – UTUSAN