PETALING JAYA: Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap dan mengurniakan surat cara pelantikan kepada Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Malaya, Hakim Mahkamah Persekutuan, Hakim Mahkamah Rayuan dan Hakim Mahkamah Tinggi, hari ini.
Istiadat Mengadap dan Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Hakim berkenaan berlangsung di Dewan Singgahsana Kecil, Istana Negara.
Istiadat dimulakan dengan pengurniaan surat cara pelantikan kepada Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hasnah Mohamed Hashim diikuti Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh.
Seri Paduka Baginda kemudian berkenan mengurniakan surat cara pelantikan kepada lapan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Noorin Badaruddin, Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril, Datuk Dr. Alwi Abdul Wahab, Datuk Faizah Jamaludin, Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid, Datuk Ismail Brahim, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dan Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin.
Baginda turut berkenan mengurniakan surat cara pelantikan kepada 15 Hakim Mahkamah Tinggi, Azizan Md. Arshad, Narkunavathy Sundareson, Noor Ruwena Datuk Md. Nurdin, Jamhirah Ali, Noor Hayati Mat, Azlan Sulaiman dan Kenneth Yong Ken Chinson St. James.
Selain itu, Hakim Mahkamah Tinggi, Leong Wai Hong, Noor Hisham Ismail, Roz Mawar Rozain, Wan Fadhilah Nor Wan Idris, Rofiah Mohamad, Wong Mee Ling, Datuk Raja Ahmad Mokhzanuddin Shah Raja Mohzan dan Suria Kumar Durairaj Johnson Paul.
Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said; Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat; Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Amar Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zamri Bakar. – UTUSAN