Sukar perbaharui pasport, rakyat Palestin terkandas di Malaysia

Sukar perbaharui pasport, rakyat Palestin dakwa terkandas di Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sekumpulan rak­yat Palestin yang menetap di Malaysia ketika ini mendakwa mereka terkandas ekoran kesulitan memperbaharui pasport sehingga menyebabkan kehila­ngan pekerjaan, selain menjejaskan kehidupan harian.

Mereka mendakwa walaupun usaha komunikasi serta penyelesaian sudah dibuat termasuk melalui orang tengah dan pertemuan bersama Kedutaan Palestin, namun permohonan mereka masih tertangguh.

Terdapat juga sekatan dan penafian dalam mengeluarkan dokumen penting lain yang di­sahkan seperti sijil kelahiran, surat keluarga, bukti kewarga­negaraan Palestin bagi pelajar dan lain-lain.

Malah, mereka perlu me­nunggu lebih setahun untuk memperbaharui pasport dan proses tersebut masih tertangguh tanpa sebarang sebab jelas.

Ketua Pegawai Eksekutif Ya­yasan Al-Quds Malaysia, Dr. Sharif Abu Shammala berkata, isu ini menambah beban kepada rakyat Palestin terutama yang berada di luar negara dan terpaksa bergantung kepada dokumen perjalanan ini untuk ke­perluan harian serta pergerakan antarabangsa.

“Kami berharap agar Kedutaan Palestin dapat menyelesaikan masalah ini dan memudahkan proses permohonan pasport bagi rakyat kami.

“Jika pasport tidak diperbaharui, ia menjejaskan semua urusan dokumentasi yang lain, termasuk permit kerja, urusan pengajian bagi pelajar dan pelbagai lagi. Mereka kini seolah-olah pendatang tanpa izin yang terkandas tidak boleh melakukan apa-apa. Nak balik Palestin tidak boleh, nak keluar Malaysia pun tak boleh.

“Penangguhan pembaharuan pasport itu juga menimbulkan kesulitan kepada keluarga mereka di Gaza,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut, Sharif ber­kata, pertemuan bersama Kedutaan Palestin masih belum dapat menyelesaikan masalah ini dan mereka sering memberi pelbagai alasan jika ditanya mengenai hal berkenaan.

“Saya menghubungi kedutaan untuk memeriksa status pasport dan mereka memberi­tahu ia masih dalam proses. Saya menunggu sebulan, dua bulan dan setiap kali saya ta­nya, mereka beri jawapan yang sama,” ujarnya.

Sementara itu, seorang daripada rakyat Palestin yang terkandas, Ibrahim Atef Ibrahim Adwan, 41, berkata, situasi ini akan mengakibatkan ramai rak­yat Palestin tanpa pasport yang diperbaharui berdepan risiko kehilangan status kediaman me­reka.

Katanya, ia juga menjejaskan kemampuan mereka untuk mengakses perkhidmatan mendapatkan pekerjaan dan melanjutkan pengajian.

“Proses itu berlarutan tanpa sebarang kemas kini yang jelas daripada pihak kedutaan yang menyebabkan status visa dan kedudukan undang-undang sa­ya tergantung di Malaysia.

“Kami berharap masalah ini dapat diselesaikan bagi membantu kami menjalani kehidupan lebih stabil dan memastikan hak sebagai rakyat Palestin tidak diabaikan,” katanya.

Dia yang mengemukakan per­mohonan sejak Februari 2023 berkata, pihaknya masih be­lum menerima sebarang maklum balas walaupun berulang kali membuat susulan.

“Saya memohon pembaharuan pasport pada awal tahun lepas, tetapi setiap kali saya menyemak statusnya, saya dimaklumkan bahawa ia masih dalam proses.

“Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan kelancaran hidup saya di Malaysia, tetapi turut bimbang mengenai keselamatan dan kesejahteraan keluarga saya di Gaza,” katanya.

Tambahnya, setiap individu berhak untuk menikmati kebebasan dan akses kepada dokumen yang sah kerana ia merupakan asas kepada kehidupan yang bermaruah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya