TELUK INTAN: Operasi restoran makanan 24 jam dikaji semula terutamanya melibatkan soal pengambilan makanan, keselamatan dan kebersihan yang sukar dikawal memberi risiko kepada kesihatan seseorang.
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A. Sivanesan menegaskan, operasi restoran makanan 24 jam boleh menyebabkan bilangan pelanggan yang tinggi selain perlu menyediakan makanan setiap masa.
Katanya, situasi itu menyebabkan pekerja restoran tidak mempunyai masa untuk membersihkan dapur menyebabkan ia tidak bersih.
“Ini memang tidak sihat. Mungkin kerajaan (negeri) membenarkan dua jenis operasi pada waktu siang dan malam dengan tempoh maksimum 12 jam dan selepas waktu itu harus ditutup.
“Dia kena pilih pukul berapa sampai pukul berapa tetapi beroperasi hanya 12 jam sahaja,” katanya semasa sidang media pada Majlis Pelancaran War On Sugar Peringkat Negeri Perak dan Program Kesihatan Warga Emas di Hospital Teluk Intan (HTI) di sini hari ini.
Katanya, waktu operasi restoran 24 jam ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dan beliau akan membawa perkara itu semasa mesyuarat kerajaan negeri nanti.
“Ini ialah dibawah PBT dan akan bawa isu ini semasa mesyuarat kerajaan negeri dan bagi arahan jangan bagi lesen operasi 24 jam. Kebanyakan restoran Cina pukul 9 hingga 10 malam dah tutup membolehkan mereka ada masa untuk membersihkannya,” katanya.- UTUSAN