‘Sudah tentu isteri saya terasa’ - Utusan Malaysia

‘Sudah tentu isteri saya terasa’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK kebelakangan ini, nama penyanyi, Aiman Tino kembali hangat menjadi sebutan selepas Wani Kayrie menggunakan namanya sebagai judul single terbaharunya. 

Enggan mencetuskan spekulasi dan tanda tanya, Wani dan pihak syarikat rakamannya, Rocketfuel menjelaskan judul lagu itu hanya sekadar penyedap bait lirik sahaja dan tidak ada sebarang kaitan dengan pemilik nama itu. 

Namun, ada juga pihak yang kurang berpuas hati dan ingin tahu respons empunya badan, Aiman Tino sendiri apabila namanya digunakan sebagai judul lagu tersebut.

Tidakkah isterinya, Syarah Haifa terasa dengan lirik lagu tersebut? Aiman jawablah!

Macam kita tahu, Wani Kayrie ada keluarkan lagu baharu yang berjudul Aiman Tino. Adakah Aiman ambil maklum dengan perkara itu dan selesa apabila nama sendiri digunakan untuk tajuk lagu? 

Mengenai lagu itu, saya memang dapat tahu daripada pihak pengurusan Wani Kayrie sendiri. Tetapi, saya diberitahu selepas lagu itu sudah siap dirakam. Jadi, saya rasa untuk mengatakan tidak itu boleh menyusahkan kerja ramai pihak. Saya tidak kata yang saya selesa apabila lagu itu menggunakan mana saya. Saya juga pelik sehingga kini. Namun, saya tidak menghalang kalau itu yang mereka mahukan. Saya juga ada dengar lagu itu sebelum dilancarkan. Pada saya, okay saja lebih-lebih lagi lagu itu dihasilkan oleh komposer yang terkenal di Malaysia. Saya rasa agak berbesar hati dan anggap satu penghargaan untuk saya.

Sebelum ini, ramai yang kurang senang apabila Wani menggunakan nama Aiman dan bimbang boleh mengguris hati isteri Aiman. Jadi, apa pula penerimaan isteri Aiman mengenai tajuk lagu tersebut? Dia marah tak? 

Betul, isteri saya agak terasa apabila lagu itu menggunakan nama saya. Penyanyi itu juga masih muda tetapi demi menjaga nama baik saya, dia kekal positif. Pada awalnya, dia mahu ambil tindakan tetapi selepas dipujuk dia positif. Tetapi, dia tidak boleh terima lagu itu sehingga kini. Kalau boleh dia tidak mahu dengar lagu itu di mana mana.

Ada juga yang anggap lagu Wani itu dijadikan sebagai  ‘marketing’ untuk tarik pendengar. Jadi, apa pandangan peribadi Aiman mengenai lagu tersebut? 

Saya tidak tahu sebesar mana nama Aiman Tino ini dipandang oleh orang luar. Bagi saya, nama saya hanyalah diri saya. Bukanlah nama yang boleh menarik perhatian pendengar, tidak. Mungkin jangkaan mereka berbeza, sebab itu saya tidak menghalang. Kalau mereka maklumkan kepada saya sebelum proses rakaman dijalankan atau selepas mendapat idea daripada komposer terkenal itu, mungkin saya akan tolak buta-buta. Disebabkan lagu itu sudah siap dan kos perbelanjaan pun mungkin sudah dikeluarkan, jadi, saya tidak mahu susahkan mereka.

Sedikit mengenai perkembangan terkini Aiman, boleh dikatakan lama Aiman tidak keluarkan lagu baharu. Apa yang membuatkan Aiman mengambil masa lama untuk tampil dengan lagu baharu? 

Saya baru sahaja lancarkan lagu terbaharu yang berjudul, Lelah ciptaan Bob Smart dan Kelinci. Kini, sedang sibuk untuk promosikan lagu itu. Sebenarnya tiada sebab pun, cuma saya mengambil masa untuk fokus menjadi seorang suami sebab baru lepas kahwin. Selain itu, saya fokus dengan hobi saya iaitu memancing yang secara tidak langsung boleh menarik perhatian peminat dan menjana pendapatan.

Lagu-lagu galau Aiman sering mendapat penerimaan yang baik di hati pendengar. Adakah Aiman kini lebih selektif dalam menghasilkan karya berkualiti? 

Bagi saya, semakin lama dalam  industri semakin saya mahukan sesuatu yang lebih berkualiti. Betul, saya agak selektif tetapi saya tidak ‘demand’. Dalam keadaan sekarang saya lebih memilih mencari lagu yang saya selesa dan boleh diterima ramai. Saya juga ada target genre yang saya impikan. Tetapi mungkin bukan sekarang, mungkin dalam setahun atau dua tahun lagi, Insya-Allah.

Pada pendapat Aiman, adakah susah untuk Aiman muncul kembali dengan karya yang sehebat lagu Permata Cinta dan Ku Rela Dibenci yang boleh dikatakan sudah mencapai tanda aras yang tinggi dalam karya Aiman? 

Untuk mendapat kejayaan seperti lagu pertama, kedua dan ketiga saya, saya rasa tidak mustahil kalau kita betul-betul fokus dan pertaruhkan seperti penyanyi lain. Kalau saya ikut cara mereka dengan mengaitkan kisah hidup mereka dan sebagainya mungkin akan menjadi. Tetapi, saya memilih untuk tidak berbuat demikian kerana saya percaya ada rezeki lain yang Allah sudah tentukan buat saya daripada pelbagai cara. Insya-Allah, saya ada impian untuk mencapai dan menghasilkan karya seperti dahulu tapi itu makan masa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya