Subsidi minyak masak peket kekal, kerajaan tiada perancangan baharu

Subsidi minyak masak peket kekal, kerajaan tiada perancangan baharu

RAFIZI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Subsidi minyak masak peket masih dikekalkan setakat ini dan kerajaan tidak ada perancangan baharu sama ada mahu memansuhkan atau sebaliknya.

Malah, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, perkara itu juga tidak pernah dibawa ke Kabinet untuk dibincangkan.

Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan sentiasa melaksanakan perbincangan secara berterusan bagi mengurangkan masalah ketirisan yang berlaku membabitkan barang kawalan itu.

“Soalan itu sebenarnya diputar-putar, saya ditanya dalam forum terbuka mengenai (subsidi) minyak peket, jadi jawapan saya ialah jawapan umum dan sudah tentu semua pelaksanaan program-program kerajaan ini memang disemak untuk mengurangkan ketirisan.

“Tugas dan penentuan itu dibuat oleh KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup), jadi setakat ini tidak ada keputusan dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Program Innovathon Musim Kedua di sini hari ini.

Media pada 17 November lalu melaporkan, Kementerian Ekonomi memaklumkan isu pemansuhan subsidi minyak masak paket ada dibincangkan kerajaan bagi mengatasi masalah ketirisan.

Bagaimanapun, Rafizi dilaporkan berkata, terdapat risiko tertentu untuk pelaksanaan pemansuhan, namun pada masa sama kerajaan membelanjakan puluhan juta ringgit bagi subsidi minyak masak.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sekiranya kementerian yang berkaitan mempunyai sebarang cadangan, mereka boleh membawanya kepada Kabinet.

“Contohnya program minyak masak berpeket ini, memang kita semua tahu ada ketirisan, memang kita semua tahu ada masalah kerana tidak sampai kepada orang yang sepatutnya menerima.

“Sama ada perkara itu ada keputusan atau tidak, yang itu sebenarnya terpulang kepada kementerian-kementerian, kalau mereka ada cadangan, mereka akan bawa kepada Kabinet. Setakat ini, tidak ada sebarang perkara yang bersabit dengan rancangan baru mengenai minyak berpeket ini yang dibawa ke Kabinet,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya