Suami meninggal, impian Ezuria genggam ijazah bersama tidak kesampaian

Suami meninggal, impian Ezuria genggam ijazah bersama tidak kesampaian

EZURIA Edora Dzafrul Akhtar bersama dua anaknya ketika memegang skrol ijazah yang diperoleh arwah suaminya, Isma Farid Idris dalam Upacara Konvokesyen USM di Pulau Pinang, hari ini. - UTUSAN/SAFINA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Impian Ezuria Edora Dzafrul Akhtar, 30, untuk menggenggam ijazah bersama pasangan lebur apabila suaminya, Isma Farid Idris, 30, meninggal dunia sebulan sebelum upacara konvokesyen berlangsung.

Ezuria Edora yang menerima Ijazah Sarjana Muda Pengurusan pada Sidang Kelapan Upacara Konvokesyen Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini hanya membawa kenangan dan semangat suaminya ketika menerima ijazah dalam bidang yang sama untuk suaminya.

Kesedihan Ezuria sedikit terubat apabila dua anaknya, Ezriq Aish Faiqal Isma Farid dan Elise Arish Elliya, masing-masing 7 dan lima tahun serta ahli keluarga termasuk ibu bapa mertua, hadir ke USM bagi menemaninya menerima ijazah hari ini.

Ezuria berkhidmat sebagai pegawai imigresen di Shah Alam berkata, suaminya meninggal selepas rebah ketika sedang bermain dalam satu kejohanan futsal di Setapak, Kuala Lumpur.

“Bedah siasat menyatakan punca kematian suami yang bekerja sebagai pegawai di Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial) adalah kerana dua saluran jantungnya tersumbat sedangkan dia seorang yang aktif bersukan. Jadi, kematiannya memang mengejut.

“Dia (suami) adalah orang yang paling teruja untuk menghadiri sidang konvokesyen ini kerana dia memang suka belajar malah, turut bercadang menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana (Master).

“Nampaknya, saya terpaksa tangguhkan dahulu hasrat untuk mendapatkan Sarjana kerana mahu fokus kepada anak-anak selepas pemergiannya,” katanya ketika ditemui di USM di sini, hari ini.

Ezuria dan suami mengambil masa lima tahun sebagai pelajar jarak jauh untuk melengkapkan pengajian di USM.

Dalam pada itu, ibu mertuanya, Nor Hayati Abdul Wahab, 61 berkata, mereka sekeluarga menemani Ezuria dengan memakai pakaian putih memandangkan itu adalah hasrat anak lelakinya yang pernah dinyatakan kepadanya sebelum ini.

“Arwah beritahu saya untuk pakai baju putih semasa konvokesyen nanti, tetapi dia tidak beritahu isterinya, jadi kami sekeluarga pakai baju putih hari ini untuk memenuhi hasrat akhirnya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya