KUALA NERUS: Kemeriahan majlis Konvokesyen Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Ke-16 di sini, hari ini, bertukar sebak apabila sepasang suami isteri naik ke pentas menerima skrol ijazah mewakili anak mereka yang meninggal dunia pada 4 April lalu.
Muslim Hasan, 62, dan isterinya, Aniza Ismail, 55, pilu apabila hadirin membacakan surah al Fatihah untuk anak mereka, Allahyarham Nur Aqilah yang meninggal dunia pada usia 24 tahun.
Muslim berkata, arwah adalah anak ketiga daripada enam beradik dan merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Kerja Sosial dengan Kepujian di Fakulti Sains Sosial Gunaan UniSZA.
Katanya, arwah sepatutnya melapor diri untuk latihan industri di Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Negeri Perlis pada 10 Mac 2024.
“Namun, seminggu sebelum tarikh tersebut, arwah jatuh sakit dan doktor memberinya cuti sakit selama 13 hari.
“Pada 18 Mac 2024, doktor mengesahkan beliau menghidap penyakit Systemic Lupus Erythematosus (SLE), namun dia gagahkan diri hadir ke LPPKN kerana berasa telah sihat.
“Namun, pada 26 Mac 2024, kesihatannya semakin merosot dan meninggal pada 4 April lalu,” katanya. –UTUSAN