KUALA LUMPUR: Kedudukan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) menggantikan Datuk Seri Hamzah Zainuddin seperti diuar-uarkan Tan Sri Muhyiddin Yassin mencetuskan pertikaian antara Bersatu dan Pas.
Pertikaian tersebut bermula apabila pemimpin Pas menjelaskan mesyuarat PN belum diadakan, sekali gus lantikan Azmin sebagai Setiausaha gabungan tersebut tidak boleh disahkan.
Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Ahmad Marzuk Shaary berkata, lantikan yang dibuat oleh Muhyiddin hanyalah ‘cadangan’.
“Itu cadangan, macam mana nak endorse (sah)? mesyuarat belum lagi,” katanya ringkas pada sidang media di Parlimen, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas pengumuman pelantikan Azmin sebagai Setiausaha Agung Bersatu dan PN seperti diumumkan Muhyiddin sermalam.
Sebaliknya, Pemuda Pas pula mahu mencadangkan Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan sebagai Setiausaha Agung PN.
Sementara itu, Datuk Rosol Wahid pada sidang akhbar sama berkata, pelantikan Azmin sepatutnya dibuat selepas Pengerusi Perhubungan Selangor itu dilantik secara sah selepas Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) PN, kemudian dibawa ke mesyuarat PN.
“PAT minggu depan, pelantikan Setiausaha Agung Bersatu kah, Setiausaha PN kah dalam mesyuatar PN 9 Disember ini baru disahkan. Itu cadangan-cadangan.
“Sebab kalau dilantik, Presiden umum, itu masih cadangan. Kita tunggu selepas PAT,” katanya lagi.
Dalam isu berkaitan, Datuk Idris Ahmad yang juga merupakan Naib Presiden Pas berkata, laporan yang menyebut Pas tidak selesa apabila Azmin dilantik sebagai Setiausaha Agung PN adalah ‘bisikan syaitan’, sekali gus menafikan laporan tersebut tidak benar.
“Sumber tidak boleh (dipercayai) itu adalah bisikan syaitan yang sentiasa mahu pecah belahkan kami, kami (PN) padu. Sekarang kami (PN) berusaha untuk memastikan terus berpadu.Kami sentiasa ada usaha kami usrah dua minggu sekali.
“Kami tidak ada masalah apa, bila dia (Azmin dilantik.Yang diumumkan adalah Setiausaha Agung Bersatu,” katanya.
Terdahulu, sebuah portal memetik sumber Bersatu sebagai berkata, tindakan Muhyiddin mengumumkan Azmin sebagai setiausaha agung PN tanpa rundingan didakwa cetus rasa tidak puas hati sehingga mengundang tindak balas Pas. – UTUSAN