LUMUT: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak memandang serius peningkatan maklumat serta kes berkaitan rasuah dalam aspek perolehan dan pengagihan projek yang dilaporkan tahun ini.
Justeru, agensi itu kini menumpukan usaha untuk menambah baik tata kelola khususnya di agensi dan jabatan kerajaan bagi menutup sebarang ruang dan peluang untuk berlakunya rasuah dalam prosedur kerja tersebut.
Pengarahnya, Datuk Ahmad Sabri Mohamed, memberitahu kegagalan tata kelola yang baik dalam perolehan dan pengagihan projek akan membuka ruang dan peluang penyelewengan serta rasuah.
“Isu tata kelola merupakan aspek yang perlu diperkemaskan untuk mengelak ketirisan kepada hasil kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian pejabat SPRM Cawangan Daerah Manjung di Sitiawan, hari ini.
Majlis perasmian itu disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Norazlan Mohd. Razali.
Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Datuk Junipah Wandi serta Ketua Cawangan SPRM Manjung, Sharizal Abdul Rahman.
Ahmad Sabri bagaimanapun tidak menyebut jumlah peningkatan kes tersebut untuk seluruh negeri.
Beliau bagaimanapun memberi contoh peningkatan kes di daerah Manjung yang menunjukkan peningkatan daripada 13 kes sepanjang tahun lalu kepada 23 kes setakat 10 bulan pertama tahun ini.
Jelasnya, selama ini ramai melihat fungsi SPRM ialah membuka kertas siasatan terhadap kes rasuah, mencari pesalah atau mengambil tindakan terhadap pesalah.
Oleh itu, terangnya, untuk fungsi terkini, pihaknya turut melihat aspek tata kelola setiap organisasi atau agensi berkaitan, menyiasat jika ada prosedur yang terdedah kepada kelemahan-kelemahan yang boleh menjejaskan atau berisiko kepada amalan rasuah.
“Kita akan bantu dan cuba untuk melihat bagaimana untuk menutup ruang dan peluang tersebut,” tegas beliau.
Sementara itu, dalam ucapannya, Norazlan memberitahu terdapat 63 maklumat dan aduan berkaitan rasuah di daerah Manjung untuk tempoh empat tahun iaitu dari 2020 sehingga 2023, dengan purata 16 kes setahun, berbanding 23 kes dilaporkan tahun ini.
Menurutnya, secara keseluruhan sebanyak 11 kertas siasatan dibuka bagi tempoh 2020 hingga 2023 manakala 10 kertas siasatan dibuka tahun ini setakat 31 Oktober lalu, dengan 11 kes telah dituduh di mahkamah.
“Bagi mengatasi isu-isu rasuah di daerah ini, Pejabat SPRM Perak Cawangan Manjung ini kelak tidak hanya menumpukan fungsinya kepada tindakan berbentuk siasatan sahaja, tetapi juga melaksanakan tindakan pencegahan rasuah meliputi aspek kesedaran, pendidikan dan menambahbaik tata kelola,” ujarnya.
Beliau juga memberitahu, SPRM Manjung adalah satu-satunya cawangan agensi itu di Perak selain ibu pejabat di Ipoh, dan tugasannya turut meliputi daerah berdekatan iaitu Hilir Perak, Bagan Datuk dan Perak Tengah. – UTUSAN