SPRM perlu ambil tindakan tegas, bawa pelaku ke muka pengadilan

SPRM perlu ambil tindakan tegas, bawa pelaku ke muka pengadilan

PENGERUSI Pertubuhan Jaringan Budi Malaysia, Datuk Khairul Walid Mohamed
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu membawa individu yang terlibat dengan kes kerugian pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) bernilai RM43.9 juta dalam FashionValet Sdn. Bhd. ke muka pengadilan.

Pengerusi Pertubuhan Jaringan Budi Malaysia, Datuk Khairul Walid Mohamed berkata, mereka yang mengakibatkan kerugian itu perlu mengembalikan ‘duit’ yang hilang itu dan tidak hanya sekadar meminta maaf.

“SPRM perlu pastikan mereka yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan serta dapatkan kembali duit pelaburan yang ‘hilang’ itu.

“Jangan hanya meminta maaf, semuanya mudah sebegitu,” katanya menerusi satu kenyataan.

Katanya, kerugian tersebut tidak seharusnya berlaku memandangkan dua entiti tersebut mempunyai ramai ‘pakar-pakar’ dalam pelaburan.

“Kemana perginya ‘pakar-pakar’ pelaburan dalam Khazanah dan PNB? Adakah Khazanah dan PNB tidak melakukan kajian terlebih dahulu hinggakan membuat pelaburan yang merugikan. 

“Saya akui dalam perniagaan akan ada rugi dan untung tetapi sebagai dua entiti yang dilabelkan ‘pakar pelaburan’, bagaimana boleh berlaku kerugian sedemikian rupa?,” soalnya.

Menurut beliau, atas faktor itulah, perkara ini perlu disiasat sehingga menemui punca supaya rakyat dapat menarik nafas lega.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan syarikat pelaburan kerajaan, Khazanah menyiasat kerugian pelaburan seperti yang dilaporkan baru-baru ini.

Katanya, selaku Pengerusi, beliau telah mengarahkan Khazanah untuk melakukan audit dalaman bagi menyiasat permasalahan terkait kerugian pelaburan bernilai RM43.9 juta seperti dilaporkan.

“Arahan tegas ini adalah sebagai memaknai pengumuman saya sebelum ini yang mengarahkan Jabatan Audit Negara (JAN) melakukan pengauditan terhadap 2,000 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi mewujudkan sistem tadbir urus yang lebih baik.

“Arahan tersebut memastikan semua syarikat berkenaan memenuhi tuntutan tanggungjawab dan fungsi masing-masing,” jelas Anwar.

Terdahulu, dua entiti pelaburan negara, Khazanah dan PNB mengumumkan kerugian pelaburan dalam syarikat Fashion Valet Sdn. Bhd. sejak tahun 2018 dengan nilai RM47 juta, namun kedua-dua syarikat tersebut telah menjual pegangan dalam platform e-dagang syarikat berkenaan dengan harga RM3.1 juta.

Ekoran daripada kemelut berkenaan, pasangan pengasas syarikat, Datin Vivy Yusof dan suami, Datuk Fadzaruddin Shah Anuar dalam satu kenyataan, memohon maaf dan melepaskan jawatan mereka dalam platform e-dagang, FashionValet ekoran masalah pelaburan membabitkan dana awam.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya