KUANTAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggempur kegiatan memunggah keluar hasil galian yang dipercayai mengandungi bauksit tanpa mengikut prosedur yang sah di sekitar daerah ini yang disyaki turut dilindungi oleh pegawai sebuah agensi di bawah kerajaan negeri sejak 2022.
Dalam serbuan dilakukan oleh Bahagian Perisikan SPRM di sekitar Bukit Goh semalam, agensi berkenaan menahan tiga individu membabitkan dua pemilik syarikat dan seorang pegawai agensi terbabit kerana dipercayai terlibat rasuah bagi melindungi kegiatan berkenaan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, dalam operas berkenaan, suruhanjaya tersebut menyita wang tunai lebih RM26,000 dan tiga unit telefon bimbit daripada suspek serta membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.
Katanya, berdasarkan risikan, kegiatan memunggah bauksit di Bukit Goh itu dipercayai dilakukan tanpa prosedur yang sah apabila kebenaran hanya diberikan bagi memunggah hasil sedia ada yang sudah digali sebelum 2022.
“Namun siasatan dijalankan mendapati, mereka turut melakukan kerja memunggah keluar hasil galian yang baru digali dan bagi melindungi kegiatan ini, beberapa pengusaha lori pengangkut bahan galian terbabit telah membayar wang rasuah kepada pegawai agensi berkenaan.
“Wang rasuah itu sebagai balasan untuk melindungi serta tidak mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap aktiviti terbabit dan SPRM kini dalam peringkat siasatan bagi mengenal pasti jumlah rasuah terlibat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Azam berkata, susulan serbuan di lokasi berkenaan, SPRM membuat pemeriksaan di sebuah lokasi penyimpanan hasil galian berkenaan di Jabor, Terengganu pada hari yang sama.
“Di lokasi berkenaan, sebanyak lima jentera iaitu empat unit excavator dan sebuah shovel loader selain tujuh lori pengangkut termasuk lima lori dumper telah diserahkan kepada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Terengganu untuk tindakan siataan atas kesalahan di bawah Seksyen 425 Akta Kanun Tanah Negara 1965.
“Selain sitaan di lokasi terbabit, sebanyak lapan unit lori pengangkut (tipper dumper) turut disita di bawah Seksyen 82 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 dan diserahkan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana dipercayai membawa muatan melebihi kapasiti dibenarkan sewaktu pemeriksaan di sebuah persimpangan jalan di Gebeng,” katanya.
Sementara itu, Majistret Wahidah Zainal Abidin membenarkan ketiga-tiga suspek lelaki berusia antara 30 hingga 50-an direman enam hari sehingga 19 November ini selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Kuantan.
Kesemua suspek direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009. – UTUSAN