PUTRAJAYA: Sejumlah 402,956 orang calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bakal memulakan sesi peperiksaan itu secara bertulis yang akan bermula pada 2 Januari hingga 6 Februari depan.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam kenyataan memaklumkan, bagaimanapun calon-calon berkenaan terlebih dahulu akan menduduki Ujian Bertutur Bahasa Melayu pada 2 hingga 5 Disember ini dan diikuti Ujian Amali Sains pada 9, 10 dan 12 Disember.
Katanya, Ujian Bertutur Bahasa Inggeris pula akan diadakan pada 16 hingga 19 Disember, manakala Ujian Mendengar Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris adalah pada 31 Disember ini.
“(Peperiksaan akan berlangsung) di di 3,337 buah pusat peperiksaan seluruh negara dan seramai 126,636 orang petugas peperiksaan dilantik bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan.
“KPM ingin mengingatkan semua calon agar merujuk jadual waktu peperiksaan bagi mendapatkan maklumat mengenai tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan, serta arahan yang perlu dipatuhi sepanjang peperiksaan berlangsung,” katanya hari ini.
KPM berkata, Jadual waktu peperiksaan SPM Tahun 2024 boleh dimuat turun dari laman sesawang Lembaga Peperiksaan (LP) melalui pautan lp.moe.gov.my.
Katanya, calon juga diingatkan supaya membawa dokumen pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan.
“Calon hendaklah mematuhi prosedur operasi standard dan peraturan yang ditetapkan bagi memastikan kelancaran pengurusan pengendalian peperiksaan SPM Tahun 2024,” katanya.
Dalam pada itu, KPM cakna dengan keselamatan dan kebajikan calon serta petugas peperiksaan dalam menghadapi sebarang kemungkinan termasuk musim banjir sepanjang peperiksaan SPM Tahun 2024 berlangsung.
KPM sentiasa siap siaga dengan mekanisme dan langkah persediaan sewajarnya termasuk bekerjasama dengan agensi kerajaan lain yang berkaitan.
Calon dinasihatkan untuk memaklumkan kepada pihak sekolah atau jabatan pendidikan negeri (JPN) dengan segera sekiranya tidak dapat hadir di pusat peperiksaan yang telah ditetapkan atau mana-mana pusat peperiksaan berhampiran disebabkan oleh bencana.
“Calon juga boleh menghubungi talian bilik gerakan peperiksaan yang disediakan di ibu pejabat LP dan JPN di seluruh negara.
“KPM komited untuk melakukan yang terbaik bagi memastikan peperiksaan SPM Tahun 2024 dapat dilaksanakan dengan lancar dan teratur,” katanya. – UTUSAN