REMBAU: Sebanyak 16 buah masjid di sini, diminta menggantikan solat Jumaat pada 8 November lalu dengan solat Zuhur susulan khatib dikesan tertinggal satu rukun khutbah.
Masjid berkenaan adalah Masjid Kariah Pekan Pedas, Masjid Kariah Batu 17 Chembong, Masjid Kariah Astana Raja, Masjid Kariah Pulau Mampat, Masjid Kariah Titian Akar, Masjid Kariah Pedas Tengah dan Masjid Kariah Durian Daun.
Selain itu, ia turut melibatkan Masjid Kariah Semerbok, Masjid Kariah Pilin, Masjid Kariah Legung Ulu, Masjid Kariah Nerasau, Masjid Kariah Dato Lela Maharaja Sepri, Masjid Kariah Kundur Hulu, Masjid Kariah Miku Lama, Masjid Kariah Sawah Raja dan Masjid Kariah Senama.
Mufti Negeri Sembilan, Prof. Madya Datuk Dr. Faudzinaim Badaruddin berkata, perkara berkenaan berlaku di beberapa buah masjid di daerah Rembau di mana khatib telah menggunakan teks yang belum dibetulkan.
“Khatib tidak membaca ‘اتقوا الله’ (bertakwa kepada Allah) sedangkan ia rukun yang perlu dibaca dengan bahasa Arab. Isu tersebut tidak berlaku di daerah lain setakat yang diketahui.
“Nasihat Jabatan Mufti kepada para jemaah yang terlibat agar menqantikan solat Jumaat dengan solat Zuhur,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Sementara itu, menerusi surat pemakluman yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Negeri Sembilan bertarikh 13 November lalu yang turut tular di aplikasi WhatsApp sejak semalam, Faudzinaim meminta masjid-masjid yang disenaraikan tidak sah solat Jumaat itu hendaklah diqada (ganti) dengan solat Zuhur seberapa segera.
Sehubungan itu menurut beliau, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) Daerah Rembau perlu membuat pemakluman berkenaan perkara ini kepada masjid-masjid yang terbabit. -UTUSAN