PETALING JAYA: Kejayaan sesebuah organisasi bukan sahaja diukur dari segi mencapai output serta impak tetapi ianya harus dicapai dengan pelaksanaan tatakelola yang teratur, telus dan berintegriti.
Pemerkasaan Unit Integriti di jabatan dan agensi kerajaan merupakan inisiatif bersungguh-sungguh Kerajaan MADANI di bawah pimpinan YAB Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjadikan isu-isu berkait rapat dengan integriti menjadi agenda utama penting ke arah melahirkan sebuah negara Malaysia yang bebas rasuah.
Dalam usaha pemerkasaan integriti, pelbagai program pengukuhan dan inisiatif telah dilaksanakan untuk mereformasikan jentera pentadbiran di peringkat Kementerian.
Bersempena Sambutan Hari Integriti Kementerian Pertahanan pada 12 November 2024, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan dalam ucapan perasmiannya, integriti merupakan satu nilai baik yang tidak akan dikompromikan sama sekali, ia mempunyai cabaran tersendiri dan tidak akan datang menjadi budaya secara sendirinya.
“Ia mesti disemai secara konsisten dan mesti dijadikan amalan di semua peringkat.
“Malah, ia mesti disokong dengan satu ekosistem atau persekitaran yang baik,” katanya ketika berucap dalam Majlis Sambutan Hari Integriti Kementerian Pertahanan 2024 di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan); Datin Roszanina Wahab; Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Datuk Zahani Zainal Abidin TUDM dan Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim.
Pelbagai aktiviti telah diadakan bersempena sambutan Hari Integriti di peringkat kementerian antaranya Selfie Integriti, Tiktok Integriti, Teka Silang Kata dan Kuiz Kahoot.
Semua aktiviti ini diadakan sepanjang tempoh bulan November ini dan sesi tayangan integriti yang akan diadakan pada esok hari.
Mohamed Khaled turut menegaskan bahawa Kementerian Pertahanan memerlukan sistem kerja, prosedur dan garis panduan yang jelas, kukuh dan tidak menyusahkan bagi sesiapa sahaja yang berurusan.
Ini kerana menurutnya, masalah integriti akan mula menyelinap masuk apabila wujud kerenah birokrasi sehingga menyusahkan semua orang.
Namun Mohamed Khaled berkata, ia bukan bermakna Kementerian Pertahanan mengambil mudah dalam semua perkara sehingga mengetepikan prinsip integriti.
“Apa yang saya mahu tekankan, dalam menjalankan tugas kita dan berurusan dengan masyarakat, kita mesti mempunyai sistem, prosedur serta cara kerja yang jelas demi membantu menyelesaikan sesuatu urusan itu dengan cara produktif dan berkesan.
“Justeru Jawatankuasa Pemantauan Penambahbaikan Penyampaian Perkhidmatan (JP4) Peringkat Kementerian Pertahanan juga telah ditubuhkan pada 23 Ogos 2024.
Tambahnya lagi, penubuhan jawatankuasa ini selari dengan amanat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) pada 16 Ogos 2024 lalu yang menekankan bahawa proses kerja sedia ada perlu ditambah baik bagi memastikan penyampaian perkhidmatan awam adalah menepati kehendak pelanggan.
Selain sistem kerja dan prosedur yang baik, Mohamed Khaled percaya kecanggihan teknologi perlu dimanfaatkan dalam membudayakan integriti.
“Perkembangan teknologi dan inovasi terkini mesti diberikan perhatian. Selain sistem dalam talian, automasi dan pelbagai kelebihan perkomputeran serta reformasi digital, kita mesti mula menggunakan kelebihan yang ditawarkan teknologi terbaru seperti big data analytics dan Kecerdasan Buatan (AI).
“Kesemua itu membolehkan kita menganalisis trend, memantau prestasi dan mengesan ketirisan dengan lebih baik, cepat dan berkesan,” ujarnya.
Mohamed Khaled dalam masa yang sama berharap keutuhan prosedur dan amalan kerja yang dibangunkan dengan sokongan teknologi dan pendigitalan untuk menutup ruang ketirisan serta percubaan yang tidak telus.
Beliau turut memberi jaminan Kementerian Pertahanan akan mencari jalan melabur dan membangunkan keupayaan teknologi dan pendigitalan dengan serius serta terancang walaupun ia mengambil masa serta menelan kos.
“Kita akan memastikan segala prosedur, budaya kerja serta pelaksanaan tanggungjawab dan mandat warga kementerian ini akan bersifat moden, kalis ketirisan serta mengangkat produktiviti sebagai tujahan yang dipegang oleh semua,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Mohamed Khaled berkata, kesedaran yang mendalam tentang tanggungjawab dan amanah mesti sentiasa disemai serta diperkukuh warga kerja Kementerian Pertahanan.
Tegasnya, ketiadaan integriti didorong keinginan untuk mendapat lebih daripada yang selayaknya selain ketamakan dan ketiadaan pemahaman yang betul tentang kuasa serta amanah.
“Ini semua didorong kemahuan pada kesenangan dan keselesaan tanpa menghiraukan tentang kesan buruk yang akan diterima oleh organisasi.
“Apatah lagi dalam konteks pertahanan, integriti adalah sesuatu yang tidak boleh dikompromikan,” katanya.
Justeru itu, Mohamed Khaled mengajak warga Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) agar tekad dan berazam untuk bersama-sama memastikan kementerian itu ditadbir dan digerakkan dengan penuh amanah serta integriti. – UTUSAN