SEKOLAH Menengah (SM) Han Chiang di George Town, Pulau Pinang baru-baru ini melakar sejarah tersendiri apabila membolot tiga tempat teratas dalam Cabaran Keusahawanan Muda (YEC) bagi kategori sekolah menengah apabila menyerlah dengan idea inovatif serta pelan perniagaan yang terperinci.
Pasukan pertama, HCHS_Onward, yang diketuai oleh Isabelle Wong Tsering muncul sebagai juara apabila berjaya mengagumkan juri dengan penyelesaian bijak mereka melalui alat Rak Pengering Tahan Cuaca Automatik.
Rak pengering itu mempunyai alat pengesan hujan yang boleh mengaktifkan motor yang menggunakan arus elektrik terus atau DC untuk memanjangkan pelindung apabila hujan, dan menariknya semula setelah hujan berhenti.
Kejayaan tersebut membolehkan HCHS_Onward yang dianggotai oleh empat pelajar memenangi wang tunai sebanyak RM3,000.
Sementara itu, tempat kedua YEC 2024 juga menjadi milik SM Han Chiang melalui pasukan HCHS_Aquafit yang tampil dengan idea botol air pintar inovatif iaitu Aquafit.
Ketua pasukan HCHS_Aquafit, Ang Jia Hui berkata, ‘Aquafit’ dilengkapi dengan sistem peringatan berbunyi dan getaran untuk menggalakkan hidrasi yang teratur.
“Botol air ini juga termasuk panel paparan yang menunjukkan matlamat hidrasi harian pengguna,” katanya.
Tempat ketiga pula dimenangi oleh HCHS_Setup melalui ciptaan mereka iaitu SetUp DeskNomad Case, yang dilengkapi pelbagai ruang dan bahagian yang boleh disesuaikan untuk menyimpan barang-barang penting seperti komputer riba, tetikus, papan kekunci, fon kepala dan lain-lain.
Dalam perkembangan berkaitan, Pengetua SM Han Chiang, Kung Bee Lee berterima kasih kepada kerajaan negeri atas penganjuran YEC yang menurutnya memberi pelbagai manfaat kepada pelajar. – UTUSAN