KOTA KINABALU: Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), Datuk Chin Su Phin menyifatkan rakaman video tular berkaitan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah sebagai bermotifkan politik dan didalangi seseorang.
Beliau berkata, berdasarkan apa yang dilihat melalui penyebaran rakaman video tersebut, ia adalah satu tindakan yang bermotif politik.
Jika benar ada bukti seperti yang didakwa, dia seharusnya lapor kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan bukannya lapor kepada Yang diPertua Agong dan Perdana Menteri.
“Video-video itu pun bukan semestinya terang, ia agak kabur,” katanya ketika mengulas tentang pendedahan rakaman video dalam skandal rasuah yang didakwa membabitkan ADUN Sabah.
Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas Mesyuarat Agung LDP di Dewan Sekolah Menengah (SM) Kian Kok, hari ini.
Mengenai Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah, Su Phin berkata, LPD menyasarkan untuk bertanding di kerusi majoriti kaum Cina.
Namun, perkara itu bergantung kepada perbincangan yang akan dilakukan dengan rakan-rakan dalam GRS.
“Saya ingat belum tiba masanya kita berebut kerusi. Kalau kita rebut kerusi tak boleh menang…tanding 10 kerusi pun tidak ada guna.
“Jadi penting untuk kita mencari kawasan yang kita boleh menang. Itu pentingnya perbincangan dengan semua rakan dalam gabungan. Siapa yang diberikan kerusi harus memastikan mereka menang,” katanya.-UTUSAN