Skandal rasuah: Laporan penyelewengan bekas CEO diserah kepada SPRM, PDRM

Skandal rasuah: Laporan penyelewengan bekas CEO diserah kepada SPRM, PDRM

NATASHA SIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Syarikat Sabah Mineral Management Sdn. Bhd. (SMM) telah mengemukakan laporan rasmi kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) susulan penyelewengan bekas ketua pegawai eksekutifnya.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SMM, Natasha Sim berkata, pihaknya telah menjalankan siasatan dalaman yang komprehensif terhadap penipuan dan penyelewengan yang dilakukan bekas Ketua Pegawai Eksekutifnya, Jontih Enggihon.

Berdasarkan siasatan dalaman yang dilakukan, katanya, didapati berlaku pelanggaran besar terhadap kewajipan fidusiari yang dilakukan bekas CEO syarikat berkenaan.

“Siasatan itu mendapati terdapat beberapa kejadian Jontih bertindak di luar bidang kuasanya dan mengambil tindakan yang memberi manfaat kepada entiti yang berkemungkinan mempunyai konflik kepentingan. Malah, ia mendapat kerjasama pihak ketiga yang mewakili kartel berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, tindakan itu dilakukan tanpa pengetahuan atau kelulusan Lembaga Pengarah, yang merupakan pelanggaran serius terhadap polisi syarikat dan piawaian tadbir urus.

Selaras dengan komitmen mereka terhadap ketelusan dan pematuhan undang-undang, SMM telah melantik peguam luar untuk meneroka tindakan sivil selanjutnya terhadap Jontih bagi mendapatkan ganti rugi terhadap sebarang kerugian kewangan atau kerosakan reputasi yang dialami oleh syarikat.

Natasha berkata, SMM tetap komited untuk menegakkan piawaian tertinggi dalam tadbir urus korporat dan berakauntabiliti dalam semua operasinya.

Jelas beliau, pihak syarikat berdedikasi untuk melindungi kepentingan pemegang saham dan rakyat Sabah serta tidak akan mentoleransi sebarang bentuk salah laku yang boleh merosakkan integriti operasi syarikat.

SMM akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada SPRM dan PDRM untuk menjalankan siasatan. Pihak syarikat akan terus memberi sebarang bantuan yang diperlukan untuk memastikan perkara ini ditangani mengikut undang-undang Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya