KUALA TERENGGANU: Situasi banjir di Terengganu semakin membimbangkan apabila mangsa terus bertambah kepada 20,911 orang daripada 5,916 keluarga setakat pukul 8 pagi ini.
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu (JPBNT) memaklumkan ketika ini, terdapat 232 pusat pemindahan sementara (PPS) yang sedang beroperasi di tujuh daerah seluruh negeri ketika ini.
Menurutnya, semua tujuh daerah mencatatkan peningkatan jumlah mangsa dengan Besut menjadi daerah tertinggi iaitu seramai 9,338 orang daripada 2,481 keluarga di 96 PPS.
“Di Setiu, mangsa terus meningkat kepada 4,255 orang daripada 1,197 keluarga di 45 PPS manakala di Hulu Terengganu pula, mangsa terus meningkat kepada 4,333 orang daripada 1,389 keluarga di 48 PPS,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Di daerah Kemaman, sebanyak 19 PPS disediakan untuk 1,534 mangsa banjir daripada 451 keluarga manakala di Dungun, seramai 709 mangsa daripada 207 keluarga berada di 14 PPS.
Katanya, pertambahan mangsa hanya sedikit di Marang iaitu 668 orang daripada 173 keluarga di sembilan lokasi.
“Di Kuala Nerus pula, mangsa bertambah sedikit kepada 74 mangsa daripada 18 keluarga dipindahkan ke satu PPS,” katanya.
Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui portal
https://publicinfobanjir.water.gov.my/aras-air pula melaporkan sebanyak lapan sungai seluruh Terengganu masih melepasi paras bahaya setakat pukul 8 ini.
Tiga sungai di Setiu yang masih melepasi paras bahaya ketika ini ialah Sungai Nerus, Sungai Chalok dan Sungai Setiu manakala di Kemaman ialah Sungai Tebak.
Di Hulu Terengganu pula ialah Sungai Telemong di Kuala Ping manakala daerah Marang ialah Sungai Marang berdekatan Jambatan Pengkalan Berangan diikuti Sungai Dungun (berhampiran Kuala Jengal di daerah Dungun) serta Sungai Besut berhampiran Kampung La dan Jambatan Keruak (Besut).- UTUSAN