Siti Rohani guna jalan lain ke tempat kerja sebelum hilang

Siti Rohani guna jalan lain ke tempat kerja sebelum hilang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seorang wanita yang dikhuatiri lemas selepas motosikalnya ditemukan dalam Sungai Titi Haji Idris, dikatakan menggunakan laluan lain daripada kebiasaan untuk ke tempat kerja di sebuah restoran di Jalan Pegawai, di sini hari ini.

Anak saudara wanita itu, Siti Noor Shuhada Dzulkifli, 28, berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika ibu saudaranya itu, Siti Rohani Saad, 37, yang bekerja sebagai pembantu restoran dalam perjalanan dari rumah di Kampung Kuala Lanjut, Pokok Sena ke tempat kerjanya pada kira-kira pukul 6 pagi tadi.

“Pelik juga sebab menurut kawannya, ini bukan laluan yang sering digunakan Mak Su (Siti Rohani) untuk pergi kerja. Biasanya Mak Su melalui jalan lain yang lebih selamat untuk ke bandar sebab kawasan berkenaan, masih gelap ketika kejadian.

“Apapun kami sekeluarga berdoa agar dia ditemui dalam keadaan selamat. Kali terakhir saya hubunginya, 9 malam tadi dan kami bersembang selama kira-kira 10 minit,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini hari ini.

Kehilangan Siti Rohani disedari selepas beliau didapati tidak datang bekerja pada pukul 7 pagi sedangkan sudah keluar rumah untuk ke tempat kerja sejak 6 pagi lagi.

Berikutan itu, ahli keluarga dan rakan-rakan tempat kerja Siti Rohani, melakukan pencarian di sepanjang laluan yang selalu digunakannya untuk ke tempat kerja, namun tidak menemuinya.

Siti Noor Shuhada berkata, bagaimanapun dalam mesej dalam satu kumpulan WhatsApp diterimanya, ada memaklumkan penemuan motosika Siti Rohanil di dalam Sungai Titi Haji Idris di Kampung Alor Sekawan, di sini.

Menerusi maklumat itu, Siti Noor Shuhada bergegas ke lokasi dan mendapati motosikal itu berada di dalam sungai, namun Siti Rohani tidak kelihatan.

Sementara itu, Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah, Penguasa Kanan Bomba 1 Ahmad Aminuddin Abd. Rahim berkata, pencarian mangsa kini dilakukan di kawasan tidak melebihi tujuh kilometer dari lokasi kenderaan mangsa ditemukan.

“Setakat ini pihak kami telah melakukan selaman dengan kedalaman sungai terutama di bahagian tengah mencecah tujuh meter. Antara cabaran dihadapi termasuk arus yang agak deras berikutan hujan di hulu sungai.

“Operasi dijalankan dengan bantuan Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan polis yang turut menghantar bot ke lokasi kejadian. Kami turut mendapatkan khidmat Unit Anjing Pengesan (K9),” katanya.

Dalam pada itu Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad memaklumkan kes tersebut setakat ini diklasifikasikan sebagai orang hilang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya