Mahasiswa dan Mahasiswi Politeknik Jeli teruja dapat mencurahkan ilmu berkait dunia pertanian kepada murid-murid di Sekolah Kebangaaan (SK) Kuala Tiga.
Perkongsian ilmu itu melibatkan penanaman sayur sawi dan bayam menggunakan kaedah hidroponik dan tanaman dalam polibeg.
Bercakap kepada Utusan Pelajar Nurul Adawiyah Sorfina Noralkhan, 20, berkata pendedahan awal kepada murid-murid ini mampu memupuk kecintaan mereka terhadap dunia pertanian.
Katanya, pada masa sama ia mampu menyokong dasar kerajaan untuk memastikan keterjaminan makanan negara pada masa hadapan mencukupi.
“Alhamdulillah, hari ini saya lihat murid-murid di sini begitu teruja dalam mengaplikasikan ilmu pertanian yang dicurahkan oleh kami.
“Walaupun singkat, namun mereka boleh faham dan besar harapan apabila pulang ke rumah nanti murid-murid ini dapat membantu ibu bapa untuk menaman sayur-sayuran,” katanya.
Bagi Muhammad Azfar Akmal Yazid, 20, pula, pendedahan ilmu berkenaan agroteknologi mampu memberi manfaat kepada murid.
Sementara itu, Penasihat CSR Tvet Madani Program Diploma Agroteknologi dan Diploma Teknologi Akuakultur, Sofiahanin Hamzah berkata, pihaknya yakin usaha ini mampu memupuk minat murid dalam teknologi pertanian.