Siswa Palapes UiTM meninggal akibat strok haba

Siswa Palapes UiTM meninggal dunia akibat strok haba

Palapes UiTM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Punca kematian seorang mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang juga pegawai kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) pada 13 November lalu dikenal pasti akibat strok haba dan kegagalan fungsi pelbagai organ.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, mahasiswa berkenaan meninggal dunia selepas tiga hari menerima rawatan sejak dimasukkan ke hospital pada 10 November lalu.

Menurutnya, lelaki itu dirawat di Wad Kecemasan Zon Merah Hospital Shah Alam, semasa mendapatkan rawatan awal berada dalam keadaan separa sedar dan mengalami suhu badan yang tinggi.

“Rawatan awal diberikan dalam usaha untuk hidrasi, namun tidak memberikan tindak balas positif. Mahasiswa itu mengalami kekejangan dan rawatan susulan diberikan sebelum ke dalam Unit Rawatan Rapi (ICU). Tiada terkesan sebarang kecederaan luaran pada badannya.

“Bagaimanapun, mahasiswa berkenaan disahkan meninggal dunia pada 13 November kira-kira pukul 2.01 pagi. Punca kematian adalah disebabkan oleh heat stroke with multiorgan failure,” katanya kepada pemberita, malam tadi.

Jelas Mohd. Iqbal, susulan itu pada 15 November, polis menerima laporan daripada bapanya kira-kira pukul 4.58 petang yang menyatakan dia menerima panggilan telefon daripada hospital memaklumkan anaknya dimasukkan ke hospital pada 10 November dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Menurut bapa simati, rakan anaknya itu memaklumkan kejadian berlaku semasa sesi latihan di padang kawad yang dikendalikan oleh seorang jurulatih Palapes UiTM Shah Alam dan pengsan sebelum dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

“Hasil siasatan pihak polis mendapati simati menyertai Palapes sejak akhir Oktober 2024 dan kini sedang menjalani ujian kecergasan sebelum latihan asas bermula pada 2025.

Tambahnya, pada hari kejadian, mahasiswa berkenaan di denda melakukan tekan tubi oleh jurulatih kerana ketinggalan dalam sesi larian dan dilihat melompat-lompat sebelum terjatuh rebah.

Dalam pada itu, Mohd. Iqbal memaklumkan siasatan diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan seramai sembilan orang saksi diambil keterangan termasuk pengadu.

“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah Asisten Superitendan Mohd. Khairi Kamaruddin di talian 012-2666025,” ujarnya.

Utusan Malaysia semalam melaporkan UiTM menyerahkan kepada polis dan lembaga siasatan di bawah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berhubung kematian mahasiswanya itu.

Universiti itu dalam kenyataannya berkata, pihaknya memandang serius dakwaan tersebut dan memberi jaminan untuk bekerjasama sepenuhnya bagi membantu siasatannya.

Terdahulu, seorang pegawai kadet Palapes UiTM, Muhammad Amir Rusyaidi Muhammad Zaidi, dilaporkan meninggal dunia dipercayai selepas menjalani sesi latihan memenatkan dan tidak berjadual selain penderaan secara fizikal.

Malah, dia juga dipijak di bahagian dada serta dipaksa melakukan pelbagai aksi seperti haiwan oleh jurulatihnya.

Sehubungan itu, Kementerian Pendidikan Tinggi dilaporkan sedang menunggu laporan kes tersebut daripada UiTM sebelum tindakan selanjutnya diambil. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya