PUTRAJAYA: Pelaksanaan sistem e-Tanah secara kerjasama awam dan swasta (PPP) bakal mengubah persepsi rakyat bahawa urusan berkaitan tanah rumit, mengambil masa yang panjang dan tidak telus.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, sistem e-Tanah yang dilaksanakan secara PPP bukti komitmen berterusan kementerian dalam merealisasikan perkhidmatan urusan pentadbiran tanah yang lebih pantas, cekap dan telus di negeri-negeri.
Menurut beliau, ia juga dilihat sebagai satu usaha yang pragmatik, sejajar dengan kepesatan pembangunan dan cabaran era digital yang menuntut pelaksanaan sistem yang lebih komprehensif dan mesra pengguna.
“Uniknya sistem e-Tanah adalah sistem dibangunkan berdasarkan keperluan dan kesesuaian di negeri dengan berpaksikan perundangan yang berkuat kuasa seperti Perlembagaan Persekutuan, Kanun Tanah Negara dan undang- undang lain yang berkaitan.
“Dalam erti kata lain, pembangunan sistem ini akan mengambil kira keperluan pihak kerajaan negeri itu sendiri dan bersifat dinamik di mana perubahan berdasarkan keperluan boleh dilaksanakan dari semasa ke semasa,” kata beliau ketika berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian Konsesi Pelaksanaan Sistem e-Tanah secara Kerjasama Awam Swasta bagi negeri Melaka di sini hari ini.
Pada majlis itu, kerajaan negeri Melaka memeterai perjanjian bersama kerajaan Persekutuan serta Puncak Tegap Sdn Bhd selaku syarikat konsesi bagi projek berkenaan.
Perjanjian tersebut dimeterai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Datuk Dr. Ching Thoo Kim yang mewakili kerajaan Persekutuan, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Azhar Arshad dan Pengerusi Eksekutif Puncak Tegap, Syed Azmin Syed Nor.
Turut hadir, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata, pelaksanaan sistem e-Tanah di Melaka adalah secara komprehensif yang merangkumi pembangunan sistem berdasarkan sembilan modul pentadbiran tanah iaitu pendaftaran, hasil, strata, pelupusan, pembangunan, penguatkuasaan, pengambilan dan consent yang akan diguna pakai secara seragam di semua Pejabat Tanah dan Galian Negeri (PTG) dan Pejabat Tanah Daerah (PTD) Melaka.
“Melalui aplikasi mudah alih, akses kepada Sistem e-Tanah kini lebih mudah dan pantas dan segala maklumat adalah di hujung jari. Pengguna kini dapat membuat transaksi seperti semakan dan bayaran cukai di mana-mana sahaja melalui peranti mudah alih,” ujarnya. – UTUSAN