SEPANG: Pelaksanaan inisiatif Airport Collaborative Decision Making (A-CDM) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dijangka meningkatkan kecekapan, kelestarian jangka panjang serta mempertingkat kecemerlangan operasi di seluruh lapangan terbang.
Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Mohd Izani Ghani berkata, sistem A-CDM direka untuk membolehkan perkongsian data masa nyata antara pihak berkepentingan lapangan terbang bagi membuat keputusan yang lebih berkesan.
Menurutnya, inisiatif tersebut bakal memberi manfaat utama kepada syarikat penerbangan dengan mengurangkan masa menunggu di landasan, meningkatkan kepuasan pelanggan serta mempertingkatkan kecekapan pengendalian darat.
“Pelaksanaan A-CDM membawa beberapa hasil utama iaitu kecekapan operasi, pengoptimuman sumber dan kapasiti serta perancangan lebih baik.
“Dengan mengintegrasikan operasi lapangan terbang, kawalan trafik udara, pengawal selia, syarikat penerbangan dan perkhidmatan pengendali darat ke dalam satu platform, A-CDM membolehkan kesedaran situasi yang lebih baik serta memaksimumkan pertukaran maklumat,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Airport Collaborative Decision Making (A-CDM) di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Izani berkata, para penumpang juga bakal menikmati pengalaman lapangan terbang yang lebih lancar dengan ketepatan masa yang lebih baik, perancangan pintu yang lebih dioptimumkan serta pengurusan aliran yang lebih baik secara keseluruhan.
Jelasnya, melalui inisiatif ini, KLIA bukan sahaja memperbaiki operasi mereka tetapi menyumbang kepada matlamat kelestarian yang lebih luas dan meninggalkan impak yang berkekalan terhadap masa depan pengurusan lapangan terbang.
“Satu lagi hasil penting adalah pengurangan penggunaan bahan api dan pelepasan gas yang selaras dengan komitmen ESG Malaysia Airport. Penambahbaikan ini bukan sahaja memberi manfaat kepada syarikat penerbangan, tetapi juga kepada matlamat yang lebih luas untuk kelestarian dan pemeliharaan alam sekitar dalam sektor penerbangan.
“Secara global, A-CDM sudah menjadi sistem yang terbukti dengan lebih daripada 30 lapangan terbang di Eropah dan lebih daripada 20 di Asia yang telah melaksanakan ia sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata, pelaksanaan inisiatif itu turut mencerminkan komitmen yang tidak berbelah-bahagi tujuh pihak berkepentingan utama yang terdiri daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia, Malaysia Airlines, AirAsia, Batik Air, Aerodarat, Pos Aviation dan Ground Team Red. – UTUSAN