SHAH ALAM: Penyanyi, pelakon dan pengacara Sissy Imann Mohammad Kamil menerima Sarjana Muzik (Penyelidikan) pada Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) Ke-100 di Dewan Agong Tuanku Canselor (DATC), hari ini.
Sissy Imann, 29, yang popular dengan pelantun lagu Ribut dan Pesanan Ayahanda berkata, walaupun sibuk dengan bidang muzik dan pengacaraan, pelajaran tetap diutamakan sebagai bekalan hidup masa depan.
“Buat masa ini, Sissy masih menjadi pengacara rancangan Retro@RTM yang sudah masuk tiga musim. Nyanyian dan bidang pengacaraan berjalan seiring dan banyak pengalaman menyeronokkan yang dilalui setakat ini.
“Adakala belajar dan menyanyi agak memenatkan, namun motto hidup, “buat je habiskan”. Jika orang lain boleh saya pun boleh buat,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Sissy Imann yang pernah menjadi guru muzik berkata, beliau bercita-cita ingin menjadi pensyarah setelah mencapai impian dalam bidang muzik satu hari nanti.
Katanya, buat masa ini beliau merancang untuk bercuti sambil menilai universiti terbaik untuk dirinya melanjutkan pelajaran dalam pengajian muzik di peringkat Doktor Falsafah (PhD).
Mengulas mengenai perkembangan terkini kerjayanya dalam bidang muzik Sissy Imann memberitahu, beliau akan menerbitkan lagu duet bersama sepupunya, penyanyi Naim Daniel tidak lama lagi.
“Lagu yang masih dirahsiakan tajuk dan genrenya itu dihasilkan bagi menyuntik kelainan dalam berkarya.
“Buat masa ini kita belum dedahkan tajuk lagu duet tersebut. Kami tidak menggunakan nama sendiri tetapi atas nama Warga Sayu.
“Rentak lagu ini lain sikit haluannya. Apa pun rentaknya berbeza dengan rentak yang saya dan Naim biasa nyanyikan sebelum ini,” katanya. – UTUSAN