SEPANG: Sindiket jenayah pemerdagangan manusia kini tidak lagi menawarkan peluang pekerjaan dengan gaji mewah di luar negara, sebaliknya menggunakan modus operandi menculik dan meminta wang tebusan.
Menurut Koordinator Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Azirul Syafiq Sazali, sindiket tidak lagi memaksa mangsa menjadi ejen penipuan atau ‘scammer’, tetapi mereka dikurung dan keluarga kena membayar wang tebusan.
“Setakat ini, sindiket tersebut dikesan memberi tumpuan kepada belia yang paling ramai di Johor diikuti Sarawak dan Sabah kerana kurang pendedahan isu tersebut.
“Sementara mangsa dari negeri-negeri lain semakin tiada kerana MHO mendapati kadar celik pengetahuan mengenai jenayah itu adalah tinggi dan tidak mudah terpedaya,” katanya selepas menyambut kepulangan seorang mangsa diselamatkan dari Kemboja di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, malam tadi.
Azirul Syafiq juga memaklumkan, fokus kumpulan pemerdagangan manusia pada ketika ini lebih kepada masyarakat Cina kerana etnik itu dianggapnya sebagai mampu.
“Justeru, saya memohon keluarga mangsa agar tidak sekali-kali cuba bayar tebusan kerana banyak kes sebelum ini, mereka ditipu tetapi anaknya itu tidak dibebaskan,” katanya.
Katanya, selaras dengan prinsip MHO, pihaknya tidak pernah berunding dengan mana-mana penjenayah malah ada strategi tersendiri bagi menyelamatkan mangsa terbabit.
“Kami berbincang dengan pihak keselamatan di negara terlibat bagi memudah cara proses kepulangan mangsa warga Malaysia tanpa kerenah birokrasi ketat.
“Kaedah itu lebih praktikal dan mangsa tidak dimasukkan ke dalam penjara lebih setahun namun sekadar transit sekejap di depoh imigresen sebelum balik.
“Kami guna cara fast-track (kaedah pantas), malah Malaysia muncul satu-satunya negara yang berjaya menyelamatkan mangsa dengan baik tanpa banyak pun kerenah,” jelasnya. – UTUSAN