Sindiket tipu kerja: 128 rakyat Malaysia masih terkandas di luar negara

Sindiket tipu kerja: 128 rakyat Malaysia masih terkandas di luar negara

SAIFUDDIN Nasution Ismail - JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seramai 557  warganegara Malaysia direkod  menjadi mangsa penipuan tawaran pekerjaan sehingga 20 September lalu dengan 128 orang masih terkandas di luar negara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 427 laporan berkaitan jenayah penipuan tawaran pekerjaan membabitkan  557 rakyat Malaysia.

Menurut beliau, daripada jumlah tersebut seramai 429 warganegara berjaya diselamatkan makala 128 orang lagi masih terkandas di luar negara.

Oleh itu, kata beliau, beberapa langkah sedang dan sudah dilaksanakan oleh PDRM untuk menangani sindiket jenayah penipuan pekerjaan.

“Antaranya mengadakan sesi libat urus bersama  Kemboja, Thailand, Myanmar dan Laos untuk tujuan perkongsian maklumat dan penyelarasan misi menyelamatkan mangsa dan mengenal pasti sindiket yang menjadi dalang terutamanya ejen pekerjaan di Malaysia.

“Selain itu, menjalankan siasatan komprehensif bagi menghasilkan pendakwaan agar memberi kesan deterrence kepada masyarakat dan meningkatkan kesedaran awam serta tahap kefahaman pelbagai lapisan masyarakat, termasuk di kawasan luar bandar mengenai modus operandi sindiket jenayah penipuan,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Siti Aminah Aching (BN-Beaufort) yang memintanya menyatakan usaha diambil oleh kementerian dalam mengatasi sindiket pemerdagangan manusia yang memperdaya mangsa secara dalam talian dengan menawarkan pekerjaan.

Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata, PDRM turut megadakan sesi libat urus dengan Pertubuhan Masyarakat Madani bagi kerjasama dalam membanteras jenayah penipuan kerja di luar negara.

“Malah, melakukan kerjasama dan penyelarasan semua kementerian atau agensi kerajaan yang berkaitan bagi menangani isu ini,” katanya.

Beliau berkata, dalam usaha menangani masalah scammer berkaitan penipuan judi secara dalam talian di peringkat domestik, Kementerian Dalam Negeri melalui agensi PDRM sudah menjalankan siri operasi bersepadu bermula daripada Ogos 2022 sehingga September lalu.

Jelasnya, ia bertujuan membanteras dan mencegah sindiket penipuan kerja terutamanya kepada agen pekerjaan yang menawarkan pekerjaan terhadap warganegara Malaysia untuk bekerja di luar negara.

“Sebanyak lima siri operasi telah dijalankan dengan kejayaan menumpaskan lima sindiket di Lembah Klang dan Johor yang berhasil menyelamatkan 25 orang yang disyaki diperdagangkan dan tangkapan seramai 20 orang warganegara tempatan.

“Siasatan dijalankan mengikut seksyen 12 dan 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670),” jelasnya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya