Sindiket penipuan pelaburan Gigamax libat kerugian RM7.26 juta tumpas

Sindiket penipuan pelaburan Gigamax libat kerugian RM7.26 juta tumpas

RAMLI Mohamed Yoosuf (kanan) menunjukkan 11 suspek yang terlibat dalam sindiket penipuan oelaburan Gigamax pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Menara KPJ, di sini hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dua wanita ditahan termasuk 11 individu lain berhubung skim pelaburan mata wang kripto Gigamax melibatkan jumlah kerugian lebih RM7.26 juta. 

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, kesemua individu itu berusia antara 34 dan 59 tahun ditahan dalam operasi di Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Kelantan, Terengganu dan Melaka pada 13 November lalu.

“Mereka berperanan antaranya sebagai pengurusan tertinggi sebuah akademi, penceramah dan individu yang mengeluarkan mata wang kripto,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat JSJK, Menara KPJ di sini, hari ini.

Gigamax merupakan platform yang berfungsi sebagai broker mata wang kripto yang menjadi medium antara pelabur dan pasaran kripto. 

Platform itu diperkenalkan dan dipromosikan pada awal Julai 2022 oleh akademi yang merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

NGO berkenaan menyediakan kaedah pendidikan dalam bentuk ‘blockchain’ dan ‘decentralization finance.’

Jelas Ramli, akademi tersebut telah meyakinkan ramai pelabur untuk menyertai pelaburan tersebut melalui kepakaran dan pengetahuan mereka dalam mata wang kripto. 

“Pelabur dibenarkan membuat pengeluaran keuntungan secara harian melalui platform terbabit. 

“Pelabur juga ditawarkan program ‘affiliate’ sebagai motivasi kepada pengguna Gigamax untuk mengajak pelabur baharu menyertai mereka,” katanya.

Menurutnya, bagaimanapun, setelah kira-kira setahun beroperasi, platform tersebut tidak lagi dapat diakses dan semua pengeluaran keuntungan telah tergendala. 

“Ekoran itu, para pelabur membuat laporan polis. Setakat ini sebanyak 101 laporan diterima sejak 27 Jun lalu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Tambah Ramli, orang ramai yang ingin membuat pelaburan mata wang kripto dinasihatkan melakukan semakan dan kajian terperinci berkenaan latar belakang pelaburan tersebut. 

“Orang ramai perlu tahu ciri-ciri pelaburan palsu seperti penggunaan akaun bank peribadi atau akaun bank syarikat yang berbeza untuk menerima deposit, jaminan keuntungan yang terlalu tinggi tanpa risiko kerugian dan sebagainya. 

“Pengetahuan sebegini amat membantu dalam mengelakkan diri dari menjadi mangsa penipuan pelaburan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya