JOHOR BAHRU: Sindiket pengedaran dan penjualan kad pemastautin tetap (PR) palsu mengaut untung lumayan apabila menjualnya dengan harga RM7,000 kepada warga asing yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah.
Bagaimanapun, jenayah sindiket itu berjaya dihidu dikesan apabila 13 individu dicekup polis dalam beberapa serbuan dan pemeriksaan di sekitar Kulai, Seri Alam dan Kajang, Selangor pada Sabtu hingga Isnin lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, dalam serbuan sepanjang tiga hari itu, 13 individu terdiri daripada enam warga tempatan dan tujuh warga asing berumur antara 27 hingga 44 tahun ditahan.
“Kesemua yang ditahan mempunyai peranan berbeza, iaitu sebagai pembuat, pengedar dan pembeli kad PR Malaysia yang disyaki palsu.
“Sindiket itu dipercayai memulakan kegiatan mereka pada September lalu dengan mengenakan bayaran RM7,000 sekeping dan menyasarkan warga asing yang telah masuk dan tinggal di negara ini tanpa memiliki dokumen perjalanan sah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Dalam serbuan tersebut, polis merampas peralatan dipercayai digunakan untuk membuat kad PR tersebut, antaranya tiga cop berlogo agensi kerajaan disyaki palsu, 10 telefon bimbit, dua komputer, sebuah komputer riba, dua mesin pencetak, sebuah mesin membuat cop getah dan sebuah mesin lamina.
Polis turut merampas beberapa keping kertas disyaki digunakan untuk mencetak kad palsu, sembilan kad PR Malaysia disyaki palsu, sekeping kad pengenalan disyaki palsu, sekeping kad perakuan nikah disyaki palsu dan sembilan keping gambar ukuran pasport.
Siasatan setakat ini mendapati kumpulan itu bergerak tanpa melibatkan kumpulan lain atau mana-mana agensi kerajaan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 468/471 Kanun Keseksaan. – UTUSAN