PUTRAJAYA: Intipan pasukan operasi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dengan mengekori sebuah kenderaan mencurigakan berjaya membongkar satu sindiket penyeludupan migran warganegara Indonesia di sekitar Kajang, Selangor.
Kenderaan itu kemudian ditahan di sebuah premis kediaman ‘rumah penampungan’ yang dijadikan penempatan sementara migran setelah dibawa masuk melalui pintuk masuk yang tidak diwartakan.
Menurut Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, dalam satu operasi khas pada 11 November lalu, seorang lelaki warganegara Indonesia ditahan di rumah penampungan itu yang dikenali sebagai ‘Jon’ disyaki sebagai ‘transporter’ berusia 42 tahun.
“Pasukan operasi turut melakukan pemeriksaan ke atas premis kediaman tersebut dan berjaya menahan dua orang ‘ahli sindiket’ merupakan lelaki warganegara Indonesia yang disyaki sebagai penjaga premis berusia 20 dan 41 tahun.
“Turut ditahan 21 lelaki dan lima perempuan warganegara Indonesia berusia di antara 21 hingga 50 tahun dengan jumlah keseluruhan ditahan seramai 29 orang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zakaria berkata, hasil semakan awal mendapati 13 warganegara Indonesia telah tinggal lebih masa, manakala mereka yang lain tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini.
Katanya, sejumlah 14 naskhah pasport Indonesia dirampas, selain wang tunai sebanyak RM13,430 dan menyita sebuah kenderaan jenis Toyota Vios yang dipercayai untuk mengangkut pendatang asing tanpa izin (PATI).
“Sindiket ini mengenakan bayaran sebanyak RM1,500.00 hingga RM2,500.00 bagi setiap seorang dan telah beroperasi selama enam bulan.
“Seorang lelaki warganegara Indonesia ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 26J dan dua lelaki warganegara sama Indonesia ditahan di bawah Sek.26H Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,” katanya.
Pada masa sama, katanya, kesemua migran warganegara Indonesia ditahan di bawah Sek.6(3) dan Sek.15(4) Akta Imigresen 1959/63 dan dibawa ke Depot Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan lanjut. – UTUSAN