GEORGE TOWN: Polis menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah jenis ganja di Pulau Pinang susulan penahanan dua lelaki tempatan dalam dua serbuan berasingan di pusat bandar ini dan Butterworth, Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, dalam serbuan pertama kira-kira pukul 12.15 tengah malam di sebuah rumah di George Town hasil maklumat dan risikan yang dijalankan, seorang suspek lelaki berjaya ditahan.
Katanya, hasil pemeriksaan di rumah tersebut, polis merampas 22 ketulan mampat daun-daun kering dibaluti plastik lutsinar disyaki dadah jenis ganja, anggaran berat 21.04 kilogram (kg) bernilai RM65,428.
“Bertindak atas maklumat yang diterima, polis kemudiannya menyerbu lokasi kedua di Butterworth dan menahan seorang lagi lelaki disyaki terlibat dengan sindiket pengedaran dadah ganja ini,” katanya di sini, hari ini.
Menurutnya, kedua-dua suspek berusia 36 dan 37 tahun dan mereka dipercayai aktif mengedar dadah sejak awal Oktober tahun ini untuk memenuhi permintaan pasaran tempatan.
“Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas ini boleh digunakan oleh seramai 42,212 orang atau 42,212 kali penggunaan,” katanya.
Tambah Abdul Rozak, saringan awal polis mendapati, suspek pertama positif dadah jenis amphetamine, methamphetamine serta mempunyai enam rekod lampau atas kesalahan jenayah dan dadah, manakala suspek kedua positif dadah jenis amphetamine, methamphetamin dan THC selain mempunyai 18 rekod lampau atas kesalahan dadah.
Katanya, kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula kelmarin bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988. – UTUSAN